Jaclyn Victor muncul juara Gegar Vaganza 9
Luqman Hariz
November 27, 2022 00:03 MYT
November 27, 2022 00:03 MYT
KUALA LUMPUR: Jaclyn Victor mengalahkan lima peserta yang lain di pentas akhir untuk muncul juara Gegar Vaganza 9 (GV9) sekali gus membolehkannya membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 dan percutian ke Paris.
Jaclyn mendendangkan lagu It's All Coming Back to Me Now nyanyian asal Celine Dion pada pusingan pertama, sebelum membawa lagu The Real Slim Shady dan Sang Saka Biru dalam pusingan rap bersama kumpulan V.E.
Jaclyn sebelum ini menjuarai empat episod pertandingan tersebut sepanjang 10 minggu lalu.
Di tempat kedua adalah Bob Yusof yang membawa pulang wang tunai RM80,000, manakala Shila Amzah membawa pulang RM30,000 di tempat ketiga.
Penyanyi versatil, Tomok memenangi tempat keempat dengan wang tunai RM20,000, disusuli kumpulan V.E. di tempat kelima yang membawa pulang RM15,000.
Bintang Singapura, Hazrul Nizam meraih tempat keenam, sekali gus membawa pulang RM10,000.
Penerbitan GV9 turut disokong oleh Farm Fresh yang hadir selaku Penaja Utama dengan kerjasama Digi selaku Telco Rasmi, manakala Adabi dan CUCKOO turut menghulurkan sokongan selaku Penaja Bersama.