Jackie Chan, Wang Leehom dan Jay Chou beri penghormatan kepada Coco Lee

Agensi
Julai 6, 2023 21:52 MYT
Ramai selebriti terkenal menggunakan media sosial untuk memperingati dan memberi penghormatan kepada Lee.
BERITA kematian bintang pop, Coco Lee, mengejutkan dunia hiburan antarabangsa.
Bintang kelahiran Hong Kong yang berjaya menembusi pasaran Amerika Syarikat itu juga merupakan antara penyanyi terkenal Mandopop dengan jangka hayat karier menjangkau hampir 30 tahun. Sepanjang tempoh itu, tidak hairan jika beliau telah mengumpul jumlah pengikut yang ramai.
Selepas berita kematiannya tersebar, ramai selebriti terkenal menggunakan media sosial untuk memperingati dan memberi penghormatan kepada Lee.
Antaranya ialah bintang pop Taiwan, Wang Leehom, yang mengenali Lee selama hampir 30 tahun.
“Saya masih ingat kemesraannya, ramai lelaki meminatinya dalam diam. Saya bertuah dan bersyukur kerana mengenalinya sebagai sahabat yang sangat baik. Semangatnya, suara dan muziknya, tidak akan pernah pudar,” kata Leehom.
Bintang aksi Hong Kong, Jackie Chan menerusi Weibo menyatakan bahawa Lee "dilahirkan untuk menjadi bintang."
"Suara, tarian dan senyuman manisnya yang menceriakan ramai," kata Chan.
Menerusi Weibo juga, artis Taiwan, Jay Chou memuat naik video ketika dia membuat persembahan bersama Lee, mengundang sebak peminat.
Bersama video itu, Chou menulis, “Forever a Tao Ma Tan" (刀马旦: peranan pahlawan wanita dalam opera Cina).
Seorang lagi penyanyi Taiwan, Jam Hsiao pula berterima kasih kepada Lee kerana sentiasa memberi galakan kepadanya dalam kerjaya.
Penyanyi dan penulis lagu Singapura, Stefanie Sun mendoakan keluarga mendiang diberi kekuatan, dan menyatakan kehilangan Lee pasti akan dirasai.
BACA: Bintang pop Asia-Amerika, Coco Lee, meninggal dunia
#coco lee #Jackie Chan #Wang Leehom #penyanyi
;