Jaafar Onn imbas kenangan terakhir bersama Rohana Jalil
Gempak
Jun 22, 2023 10:20 MYT
Jun 22, 2023 10:20 MYT
PELAKON dan penyanyi Jaafar Onn antara rakan artis yang terkesan dengan pemergian Allahyarham Rohana Jalil kelmarin.
Kata Jaafar, 71, tempoh persahabatan 40 tahun bersama Allahyarham menjadikan kematian sahabat baiknya itu satu kehilangan tiada ganti.
"Dia seorang sahabat yang memahami siapa diri saya. Malah dalam ramai-ramai artis popular, hanya dia sahaja yang mahu berduet dengan saya. Dia terima saya seadanya.
"Selama bersahabat, saya tak pernah ambil hati dengan apa yang dia cakap pada saya. Kalau ada rasa kecil hati, saya terus buang dan lupakan kerana kami sudah lama kenal, lebih 40 tahun.
"Bukan senang nak cari sahabat yang tahu siapa diri kita. Kadang-kadang ada orang kenal perkotak-katikkan kita, tapi dia tak pernah. Dia suka berterus-terang dan kalau ada yang tak betul, dia tegur dan beri semangat pada saya," katanya kepada Gempak.
Berkongsi momen terakhir bersama arwah, cerita Jaafar mereka bertemu untuk mengadakan persembahan di Shah Alam beberapa bulan lalu sebelum arwah jatuh sakit.
"Saya ada menjayakan persembahan bersamanya di Plaza Masalam beberapa bulan lalu dan pada ketika itu saya tengok dia dalam keadaan sakit yang agak teruk.
"Saya cakap pada dia, kalau sakit kenapa datang, tetapi dia kata datang sebab saya selalu jemput dia buat persembahan. Duit adalah soal kedua, tetapi baginya memenuhi undangan orang adalah lebih utama, apatah lagi bila sudah berjanji.
"Ketika itu saya tengok dia nak berjalan susah dan menyanyi pun sambil duduk. Saya kagum sangat dengan semangatnya," ceritanya.
Terdahulu, ibu kepada pelakon Kilafairy itu disahkan meninggal dunia akibat kebocoran usus di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada jam 11.33 malam Selasa.
Jenazah selamat dikebumikan Tanah Perkuburan Islam USJ22, Subang Jaya, sekitar 11.45 pagi Rabu. - Gempak