Izara Aishah bakal timang cahaya mata April 2020
Astro Awani
Januari 1, 2020 11:58 MYT
Januari 1, 2020 11:58 MYT
TIADA apa yang membahagiakan pelakon jelita Izara Aishah selain daripada bakal menimang cahaya mata sulung pada tahun ini.
Ketika ini, usia kandungan isteri kepada usahawan Adib Khalid itu sudah mencecah enam bulan.
Bagi Izara, hasrat untuk dia dan Adib bergelar ibu dan ayah pada 2020 dimakbulkan oleh Allah sekali gus melengkapkan rancangan mereka.
“Sejak mendirikan rumah tangga, saya dan suami memang merancang untuk mendapatkan zuriat pada 2020 kerana masing-masing sibuk bekerja. Selain itu, kami juga mahu menikmati masa bersama terlebih dahulu. Alhamdulillah, Tuhan memakbulkan doa saya dan suami.
“Sebelum ini, apabila ada yang bertanya soal zuriat, masing-masing tidak berani untuk mengatakan kami ada perancangan sendiri. Kami hanya mengaminkan sahaja doa mereka. Pada masa sama, ada segelintir pihak di luar saya yang menuduh saya mandul.
“Seperti yang diketahui ramai, saya bukannya suka berkongsi hal peribadi secara terbuka. Berita kehamilan ini pun saya simpan selama enam bulan sebelum sedia untuk dikongsi,” kata Izara seperti dilaporkan portal Berita Harian pada Rabu.
Menurut Pelakon Wanita Filem Terbaik, Anugerah Telenovela 2018 itu, dia sangat bersyukur kerana kandungannya berada dalam keadaan yang baik.
Bahkan, kata Izara, dia juga tidak mengalami sebarang alahan seperti mana kelaziman yang dilalui wanita yang hamil anak pertama.
“Saya langsung tiada alahan. Alhamdulillah, bayi dalam kandungan juga sihat. Saya sendiri masih memenuhi pelbagai undangan, termasuk majlis perkahwinan teman baik, Farah Nabilah, baru-baru ini.
“Semoga proses kelahiran anak kami nanti juga akan dipermudahkan,” kata Izara yang berkahwin dengan anak tiri penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza pada 17 November 2017.
Sementara itu, dalam perbualan dengan Astro AWANI, Izara berkata, berita kehamilannya disambut dengan penuh kesyukuran oleh seluruh ahli keluarganya.
Suaminya pula, kata Izara, terlalu sebak dan hampir menitiskan air mata sebaik dimaklumkan berita gembira itu.
"Adib sebak bila kami diberitahu akan terima cahaya mata. Seluruh ahli keluarga juga berkongsi kegembiraan yang sama. Insya-Allah pada April ini anak sulung kami akan lahir. Doakan yang baik-baik buat kami ya," ujar Izara lagi.