IU nafi beli rumput baharu, tegaskan sudah patuhi manual stadium
Agensi
September 23, 2024 22:30 MYT
September 23, 2024 22:30 MYT
SEOUL: Bintang terkemuka Korea Selatan, IU, menafikan khabar angin pihaknya membeli rumput baharu untuk Stadium Piala Dunia Seoul selepas mengadakan dua konsert di lokasi tersebut.
Malah, IU turut menegaskan dia telah mengikut manual penyewaan dan penggunaan stadium berkenaan semasa berlangsungnya konsert HEREH World Tour in Seoul Encore: The Winning pada 21 dan 22 September.
Agensi pengurusan IU, EDAM Entertainment, menegaskan mereka sudah mematuhi manual penggunaan yang disediakan, dan bekerjasama dengan pengurusan stadium untuk memastikan stadium ditinggalkan dalam keadaan baik.
Antara yang dikemukakan dalam syarat perjanjian adalah pihak IU perlu membuka dan merobohkan pentas sebaik sahaja konsert tamat serta memastikan rumput terhidrat dan diudarakan dengan baik.
Peminat turut diminta supaya mengelak daripada memakai kasut yang boleh merosakkan pelindung rumput, seperti kasut tumit tinggi atau kasut bertumit lebar (wedges) untuk melindungi rumput di stadium.
Difahamkan untuk konsert tersebut, pasukan IU telah memasang pelindung rumput yang kukuh di kawasan tempat duduk bawah (ground seating) dengan lubang untuk pengudaraan dan saliran air.
Mana-mana artis yang menyewa stadium tersebut perlu mematuhi manual yang diberikan pengurusan stadium. Sebarang kerosakan akibat kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan artis berkenaan dikenakan caj pembaikan.
Sebelum konsert berlangsung, peminat bola sepak meluahkan kebimbangan mereka kerana ia bukan sebuah stadium yang direka khas untuk konsert.
Malah, bintang bola sepak Korea Selatan, Son Heung Min turut menyatakan kebimbangan mengenai kerosakan yang mungkin berlaku selepas konsert tersebut.