iTunes sah terkubur, diganti tiga aplikasi

Ibrahim Sani
Jun 4, 2019 20:03 MYT
iTunes mula diperkenalkan lebih satu dekad lalu, namun populariti aplikasi ini kian pudar dan telah memberi laluan kepada aplikasi yang lebih relevan dan moden seperti Apple Music dan Apple TV. - Astro AWANI/Ibrahim Sani
Aplikasi terkenal Apple, iTunes sah terkubur selepas syarikat teknologi itu menggantikannya dengan tiga aplikasi berlainan.
Apple Music, Apple Podcasts, dan Apple TV antara aplikasi yang dibawa oleh syarikat itu untuk memastikan penggunaan perkhidmatan Apple kekal relevan untuk pengguna.
iTunes mula diperkenalkan oleh Apple lebih satu dekad lalu bagi membantu pengguna menikmati industri muzik yang kian berkembang.
Ia membolehkan Apple untuk beri perkhidmatan langganan muzik yang tiada tolok bandingannya pada waktu itu. Tetapi berikutan peredaran zaman, corak penggunaan dan penikmatan muzik oleh pengguna telah berubah dengan dramatik.
Khabar angin berkenaan Apple menguburi iTunes telah wujud sejak tahun lalu. Ini kerana pengguna secara amnya tidak meminati iTunes lagi. Sebaliknya, pengguna secara am lebih suka menggunakan aplikasi hiburan milik Apple yang baharu, seperti Apple Music dan Apple TV.
Aplikasi Music, TV dan Podcast yang didapati di komputer Mac, juga boleh didapati di peranti Apple yang berfungsi atas sistem kawalan iOS. Dengan ini, Apple sekali lagi mengambil langkah untuk menyatukan perbezaan di antara kesemua peranti milik mereka.
#Apple #apple mucis #apple music #apple tv #hiburan #iTunes #music #podcast #tim cook #wwdc
;