"Itu semua fitnah..." - Diana Danielle nafi berlaku curang
Astro Awani
Mac 28, 2023 11:35 MYT
Mac 28, 2023 11:35 MYT
SHAH ALAM: Pelakon terkenal, Diana Danielle menolak dakwaan suaminya, Farid Kamil Zahari yang dia berlaku curang sehingga menyebabkan rumah tangga mereka berantakan.
Kata Diana, 32, masalah yang tercetus dalam rumah tangganya dengan Farid, 42, adalah berpunca daripada suaminya sendiri.
"Itu semua fitnah. Masalah yang timbul adalah kesalahan dia 100 peratus. Kalau betul ada orang ketiga, kenapa dia hendak belikan cincin kahwin saya?
"Kalau 'kantoi' kenapa hendak bawa bunga? Bayangkan cincin yang dia nak bagi tadi sudah dia hilangkan selama lapan tahun.
"Tetapi, baru hari ini dia hendak beri semula cincin perkahwinan kami selepas lapan tahun," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, di sini, hari ini.
Kedua-dua mereka hadir secara berasingan bagi memaklumkan mahkamah berhubung pelantikan wakil dalam Jawatankuasa Pendamai (JKP) bagi menyelesaikan konflik rumah tangga mereka, selepas Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.
Terdahulu, Farid yang ditemui pemberita mendakwa, keretakan rumah tangganya dengan Diana disebabkan kehadiran orang ketiga.
Bahkan, dakwa Farid, orang ketiga dalam hidup Diana juga yang mendorong isterinya itu menuntut perceraian daripadanya.
Kehadiran orang ketiga itu, dakwa pelakon popular itu, sudah disedarinya sejak tahun lepas lagi, namun, hanya baru-baru ini kesahihannya terbukti.
Ditanya mengenai dakwaan Farid yang sudah 23 hari tidak bertemu anak-anak mereka, Diana berkata, anak kedua mereka, Nur Aurora dalam keadaan trauma.
"Aurora trauma," katanya ringkas sebelum memasuki kereta.
Farid yang tiba di mahkamah sekitar pukul 9 pagi membawa jambangan bunga mawar untuk Diana serta sebentuk cincin sebagai hadiah ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-11.
Diana pula hadir lima minit lebih awal bersama pengawal peribadi.
Sebelum ini, pada 10 Mac lalu, Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson memfailkan perceraian terhadap Farid di Mahkamah Rendah Syariah Petaling.
Diana menegaskan, alasan berbuat demikian adalah kerana tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.
Bagaimanapun, Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.
Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan kedua-dua mereka berunding melalui proses JKP.
Pasangan Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.