'Itu kerja scammer' - Neelofa nafi laporan berita 'disaman' BNM
Hasimi Muhamad
Januari 17, 2024 15:11 MYT
Januari 17, 2024 15:11 MYT
KUALA LUMPUR: Selebriti dan usahawan popular, Neelofa hari ini menafikan laporan berita kononnya beliau disaman oleh Bank Negara Malaysia (BNM) gara-gara membuat kenyataan yang tidak bertanggungjawab menerusi satu temu bual bersama stesen televisyen.
Sebaliknya, Neelofa atau nama sebenar, Noor Neelofa Mohd Noor, 35, menegaskan perbuatan tersebut dipercayai dilakukan oleh sindiket penipuan atau 'scammer'.
Pengacara tersohor itu berkata, paparan artikel palsu berkenaan juga dipercayai bagi tujuan skim penipuan wang.
“Kalau sesiapa baca ini, atau ternampak tajaan iklan serta berita dalam Instagram seperti saya tunjukkan ini, itu semua adalah adalah 'scam'.
“Tolong jangan tekan pautan dalam artikel itu...
"Sebab, satu sudahlah temu bual itu sepenuhnya mereka buat naratif sendiri. Dia (sindiket penipuan) nak cuba tipu orang Malaysia mungkin dengan kisah temu bual yang sangat palsu. 'Link' itu adalah untuk curi duit kamu. Jangan terpedaya dengan kandungan artikel ini," katanya dalam kemas kini di laman Instagram hari ini.
Neelofa menambah, beliau percaya taktik tersebut merupakan salah satu cara digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk memperdayakan orang ramai.
"Jika anda ternampak sesuatu yang mencurigakan, laporkan secepat mungkin," tambah beliau.
Berdasarkan kemas kini tersebut, Neelofa antaranya mendedahkan tangkap layar, yang dimanipulasi melalui temu bual bersama dengan Astro AWANI bertajuk "Neelofa was outraged by what just happened".
Tangkap layar tersebut turut tertera kapsyen mendakwa bekas penyampai Astro AWANI, Rizal Zulkapli melabel Neelofa sebagai penipu.
Sementara itu, satu lagi tangkap layar artikel tertera kononnya laporan The Star, yang bertajuk "Neelofa is being sued by Bank of Malaysia for comments she made on live broadcast".
Dalam perkembangan sama, Astro AWANI turut memaklumkan tidak bertanggungjawab atau ada kaitan dengan sebarang tindakan yang dilakukan oleh pihak-pihak terbabit.
#Neelofa artikel temu bual palsu
#Scammer guna nama Neelofa
#Neelofa nafi kenyataan disaman
#Rizal Zulkapli
#disaman Bank Negara