"Itu bukan saya"- Misha Omar nafi ditahan polis Thailand
Kenyataan Media
November 2, 2024 17:43 MYT
November 2, 2024 17:43 MYT
KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal yang berasal dari Kelantan, Misha Omar menafikan dia bukan penyanyi wanita yang ditahan dalam operasi polis Thailand di Sungai Golok, semalam.
Melalui hantaran Instagram (IG), Misha atau nama sebenarnya Samihah @ Aisah Omar menafikan dirinya terbabit dalam kes itu dan dia juga berterima kasih atas keprihatinan para pengikutnya di media sosial.
"Terima kasih kepada yang hantar dan bertanya kepada saya, sama ada saya okay atau tidak. Ini bukan saya... Jangan risau, okay?" katanya dalam satu entri di IG pada Sabtu.
Media melaporkan enam rakyat Malaysia, termasuk seorang artis wanita, ditahan selepas dipercayai memiliki dadah jenis pil kuda di sebuah hotel di Sungai Golok, Thailand, awal pagi semalam.
Semua individu berusia antara 25 tahun hingga 32 tahun ditahan di sebuah bilik selepas selesai berhibur dan polis Thailand dilapor merampas 6,000 biji pil kuda.
Dalam pada itu, Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat mengesahkan kepada Astro AWANI menerima laporan mengenai penangkapan itu dari pihak berkuasa Thailand.
"Disahkan enam rakyat malaysia termasuk seorang artis tempatan kelantan. Maklumat dari rakan sejawat dari Thailand," katanya ringkas.