Isu pembedahan bariatrik, Sherry Alhadad mohon maaf...
Gempak
Disember 18, 2022 11:18 MYT
Disember 18, 2022 11:18 MYT
PELAKON dan pengacara Sherry Alhadad tampil memohon maaf jika kenyataannya menolak pembedahan bariatrik yang viral di media sosial baru-baru ini menyebabkan banyak hati terguris.
Sherry berkata, tujuan dia merakamkan video tersebut adalah bertujuan untuk menjawab soalan-soalan yang diterima di TikTok, Instagram dan orang yang ditemui secara empat mata, tanpa ada niat lain di sebaliknya.
“Ramai yang tahu saya merupakan duta produk untuk mengurangkan berat badan. Effort saya ialah dengan ambil produk tersebut dan dalam masa sama pergi ke gimnasium atau buat senaman ringan.
“Ada yang kata, saya turun berat sebab pembedahan (bariatrik). Jadi video itu dirakamkan untuk beri penjelasan yang saya berjaya turunkan berat sebab kombinasi mengambil produk dan juga senaman.
“Jadi saya ingin memohon maaf atas kenyataan saya jika ada mana-mana pihak yang terasa,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Sherry mengakui yang pemilihan perkataan dalam video berkenaan dirasakan tidak sesuai sehingga ada pihak yang berkecil hati terhadap kenyataan yang dikongsikannya.
“Kekhilafan saya sendiri tidak melihat dan menggunakan perkataan yang betul ketika buat kenyataan dalam video. Saya tak pernah naik status atau beri pandangan terhadap sesiapa yang buat pembedahan bariatrik surgery.
“Kalau ada orang tanya, sebenarnya saya akan jawab terpulang pada individu. Setiap orang ada pendapat dan cara masing-masing. Bila orang tanya, saya akan jawab saya tak buat tapi terpulang pada orang luar untuk pilih kaedah atau cara mereka sendiri untuk menurunkan berat badan.
“Saya minta maaf pada mereka kalau ada yang terasa. Sebab saya tak tujukan pada sesiapa. Saya tujukan video itu pada diri saya bagi menjawab persoalan yang orang lain tanya. Itu sahaja. Tidaklah saya nak condemn dan kritik orang yang buat pembedahan. Takda niat saya buat begitu,” tutup Sherry.
Terdahulu, penyanyi Datuk Aishah menegur Sherry kerana pengacara Big Stage itu menganggap mereka yang melakukan pembedahan bariatrik seperti menggunakan jalan pintas untuk menurunkan berat badan.
Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.
* Artikel asal disiarkan di Gempak.