Isu pematuhan SOP, keluarga Neelofa dipanggil beri keterangan Selasa

Astro Awani
Mac 29, 2021 00:11 MYT
Majlis pernikahan selebriti, Neelofa bersama pendakwah bebas, PU Riz mencetuskan kontroversi apabila proses akad nikah kedua pasangan terbabit dilihat tidak mematuhi SOP. - Foto Instagram/NeelofaHarrisOfficial
Keluarga selebriti popular, Neelofa dipanggil untuk memberikan keterangan berikutan isu pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam majlis pernikahan yang berlangsung Sabtu lalu.
Menurut laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohamad Zainal Abdullah memaklumkan, selain daripada keluarga Neelofa, turut dijangka memberikan keterangan pada Selasa termasuk penganjur acara majlis pernikahan itu.
"Sepatutnya penganjur acara itu hadir memberi keterangan hari ini (Isnin) tetapi ditangguhkan ke esok (Selasa) bersama keluarga Neelofa.
"Setakat ini, polis sudah mengambil keterangan beberapa saksi," katanya sebagai dipetik Harian Metro ketika dihubungi pada Isnin.
Terdahulu pada Ahad, polis telah membuka kertas siasatan dan akan memanggil penganjur serta pihak hotel bagi majlis pernikahan selebriti, Neelofa, 32 dengan pendakwah bebas, Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz, 26, berkaitan pematuhan kepada SOP.
BACA: SOP COVID-19: Polis siasat majlis pernikahan Neelofa, penganjur dipanggil petang ini
BACA: COVID-19: Tiada pilih kasih dalam kes langgar SOP - Polis
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata, kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Susulan perkara itu, majlis pernikahan selebriti berkenaan menjadi buah mulut warga maya yang mempersoalkan majlis tersebut tidak mematuhi SOP iaitu tiada penjarakan fizikal terutamanya ketika proses akad nikah berlangsung.
#Pernikahan Neelofa #pematuhan SOP #PDRM #PU Riz #Noor Neelofa Mohd Noor #beri keterangan #Majlis Pernikahan
;