Isu pecah amanah dan dikhianati, Fazura terima pengajaran

Gempak
Mac 11, 2023 12:20 MYT
Fazura menganggap kejadian pecah amanah dan dikhianti sebagai pengajaran buat dirinya untuk lebih berhati-hati pada masa hadapan. - Gambar GEMPAK
PELAKON dan usahawan Nur Fazura mendedahkan wujud isu pecah amanah dalam syarikat yang melibatkan kakitangan perniagaan miliknya.
Enggan mengulas lanjut, Fazura atau nama lengkapnya Nur Fazura Sharifuddin, 39, berkata kes terbabit sudah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
“Betul memang ada pecah amanah dan kes ini sangat-sangat berat. Ia melibatkan kakitangan sementara dan sejumlah wang yang sangat banyak.
“Saya tak ingin ulas panjang kerana hal ini masih menjadi siasatan pihak polis. Insya-Allah kita akan tahu lebih lanjut apabila mendapat update nanti.
“Apatah lagi ia bukan membabitkan satu kes saja sebaliknya melibatkan beberapa kes lain dengan orang yang berbeza.
“Saya bukan ingin buka aib sesiapa, tetapi sudah melanggar undang-undang dan boleh dianggap ini kes khianat juga” katanya kepada Gempak.
Fazura berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran butik terbaharu dan tayangan kempen hari raya jenama miliknya yang berlangsung di ibu kota pada Jumaat.
Dalam pada itu, isteri kepada aktor Fattah Amin itu turut menganggap kejadian berkenaan sebagai pengajaran buat dirinya untuk lebih berhati-hati pada masa hadapan.
Malah, perkara berkenaan membuka mata Fazura untuk tidak mudah mempercayai orang sekeliling mahupun kawan sendiri.
“Saya sangat sedih dengan apa yang berlaku. Ia juga menjadi pengajaran buat saya untuk lebih berhati-hati dalam mempercayai orang.
“Hal yang terjadi bukan saja pengajaran buat saya sebaliknya sebagai teladan buat si pelaku juga menyesali dengan apa yang dia sudah buat.
“Mungkin saya terlalu mudah percaya dan bersangka baik pada orang, itu lah silap saya. Tidak rasa menyesal untuk bersangka baik, tetapi pengajaran untuk saya.
“Sebab sejak kebelakangan ini saya banyak mengalami situasi begitu (dikhianti) dengan pekerja dan kawan-kawan. Cannot trust anyone walaupun dia seorang yang rapat dengan saya,” katanya lagi.
Terdahulu, pada Ogos tahun lalu, media melaporkan Fazura ada membuat satu laporan polis berkenaan isu pecah amanah terhadap syarikat miliknya.
Bagaimanapun, aktres tersebut tidak memperincikan butir lanjut mengenai laporan polis yang dibuat.
* Artikel asal disiarkan di Gempak.
#Fazura #pecah amanah #dikhianti #Fattah Amin
;