Isu masalah disiplin, Shahrol Shiro bidas stesen radio swasta
Madiha Abdullah
Januari 25, 2019 21:30 MYT
Januari 25, 2019 21:30 MYT
PELAWAK, Sharol Shiro membidas tindakan sebuah syarikat radio swasta yang dianggap tidak profesional apabila membuat kenyataan terbuka tentang isu masalah disiplin yang dihadapinya di tempat kerja.
Menerusi satu entri di Instagram, Sharol tidak menafikan isu masalah disiplin itu memang wujud namun dia mempunyai sebab tersendiri.
"Memang ada berlaku (masalah disiplin) sepanjang MLM2018. Kadang-kadang mencari idea sehingga jam 3 pagi, pukul 5.30 dah bangun, (jadi) ada yang terlajak," tulis Sharol.
Kata Shahrol, kerana menyedari kesilapan di pihaknya, dia langsung tidak membantah apabila gajinya digantung dan ditolak.
Tambahnya lagi, selain komitmen terhadap program Maharaja Lawak Mega (MLM) dan Super Spontan, dia juga mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga yang memaksanya tidak dapat turut serta dalam program jelajah anjuran stesen berkenaan.
"Kamu suruh saya naik bas untuk program jelajah setiap Jumaat sedangkan kamu tahu Jumaat malam saya terlibat dalam Super Spontan.
"Selepas habis rancangan saya ikut jelajah kamu dengan kenderaan sendiri tanpa claim minyak dan tol.
"Dulu kamu pening kepala rating Suria jatuh. Kita berbincang bersama dalam suasana yang muhibah dan dengan izin Allah, survey yang lepas (rating) kita naik.
"Bila nak tamatkan kontrak, suruh datang ambil surat dan WhatsApp, tanpa duduk bersama. Kamu ingat saya sampah?" tulis Shahrol dalam status panjang lebar itu.
Sebelum ini, media melaporkan kontrak Shahrol bersama stesen radio itu ditamatkan lebih awal kerana faktor disiplin dan prestasi kerja yang tidak memuaskan.