Isu Fifty Shades of Grey: Sudahlah bogel, ikat di tiang katil pula - Pengerusi LPF
Astro Awani
Februari 5, 2015 15:04 MYT
Februari 5, 2015 15:04 MYT
Adegan seks sadis di dalam filem adaptasi novel terkenal ‘Fifty Shades of Grey’ disifatkan keterlaluan dan terlalu 'luar biasa'.
Pengerusi Lembaga Penapisan Filem (LPF), Datuk Abdul Halim Abdul Hamid berkata, ia sekali gus diharamkan untuk ditayangkan di negara ini kerana sudah termasuk di dalam klasifikasi filem lucah.
"Ada adegan yang menunjukkan wanita itu diikat di tiang katil dan pasangannya memukul dengan cemeti.
"Tiada alasan untuk kita membenarkan filem sebegini ditayangkan di negara kita, dan kita di LPF mengikut akta yang sudah termaktub di dalam undang-undang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Abdul Halim mengulas keputusan larangan tayangan filem ‘Fifty Shades of Grey’ kerana mengandungi elemen-elemen erotik.
Pengedar filem itu di Malaysia, United International Pictures (UIP) pada awalnya berkata filem itu akan ditayangkan pada 12 Februari ini.
'Fifty Shades of Grey' menampilkan pelakon Dakota Johnson dan Jamie Dornan, masing-masing membawakan watak Ana Steele dan Christian Grey.
Filem arahan Sam Taylor-Johnson ini bakal ditayangkan di Amerika Syarikat pada 13 Februari.
'Fifty Shades of Grey' mengisahkan kehidupan seorang gadis, Anastasia Steele yang berubah setelah bertemu dengan seorang pemuda kacak namun ‘ganas’, Christian Grey.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan filem itu tersebar di pasaran gelap atau dimuat turun di internet, Abdul Halim berkata: "Kita hanya menjalankan tugas mengikut Akta Penapisan Filem dan agensi berkenaan harus memantau seandainya filem itu masuk ke negara ini dengan cara berlainan."
Filem itu merupakan adaptasi daripada novel judul yang sama hasil karya E.L. James.
Novel berkenaan juga mendapat sambutan hebat daripada kaum wanita dan telah terjual sebanyak 100 juta naskhah di seluruh dunia.