Isu dedah wajah adik, Asyraf Khalid dan Tya Ariffin mohon maaf

Gempak
April 23, 2021 19:58 MYT
Asyraf dan Tya mengakui, tindakan berkongsi foto anak kedua permata hati negara itu merupakan kesilapan mereka.
PUCHONG: Pasangan selebriti Asyraf Khalid dan Tya Arifin sudah memohon maaf kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza berkenaan insiden mendedah wajah anak kedua permata hati negara itu.
Ia termasuk video yang merakamkan kunjungan ramai tetamu di hospital selepas penyanyi ternama itu melahirkan anak kedua pada 19 April lalu sehingga menjadi tular.
“Kami berhubung dengan Mak Iti (panggilan buat Siti Nurhaliza) menerusi aplikasi WhatsApp dan juga panggilan telefon kerana belum berkesempatan untuk bertemu dengannya.
“Hubungan kami baik-baik sahaja cuma Mak Iti berpesan untuk menjadikan insiden itu sebagai iktibar.
Bukan salah Mak Iti, bukan salah siapa-siapa, salah itu datang pada kami.
“Kami dengan ikhlas hati ingin memohon maaf jika isu ini mengguris hati banyak pihak. Kami harap isu ini tidak dipanjangkan lagi dan mak Iti dapat berpantang dengan tenang,” ujarnya.
Asyraf ditemui ketika majlis berbuka puasa bertempat di Wisma Mutyara, Puchong hari ini.
Menurut Asyraf lagi, pihaknya juga sudah memadamkan video berkenaan di seluruh platform media sosial.
“Kami menyedari kekhilafan kami... kami juga telah memadamkan video berkenaan. Sejujurnya insiden ini membuatkan menjadi lebih matang dan lebih berhati-hati di masa akan datang,” katanya.
Terdahulu, nama Asyraf dan Tya menjadi hangat selepas perkongsian video di laman YouTube mereka memaparkan suasana di hospital selepas Siti bersalin.
Video itu juga menimbulkan perdebatan netizen mengenai pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).
#Siti Nurhaliza #Asyraf Khalid #Tya Arifin #media sosial #anak #penyanyi
;