Isteri teringat hidangan terakhir Jins Shamsuddin

Hilal Azmi
Mac 1, 2017 23:59 MYT
Jenazah Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin dibawa ke rumahnya di Hulu Klang sekitar jam 8 malam tadi dan dijadualkan akan dimandi dan dikafankan pada 8 pagi Khamis. - Foto Astro AWANI / Hilal Azmi
Siapa sangka petang Rabu yang mendung merupakan petang terakhir buat Puan Sri Halijah Abdullah menghidangkan juadah minum petang buat suaminya, Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin.
Cucur pisang yang sememangnya menjadi kegemaran suaminya itu dihidang dan disuapkan dengan penuh kasih sayang buat 'James Bond Malaya' yang telah lebih lima tahun menderita penyakit Alzheimer.
"Kebiasaannya bermula jam 2:30 petang, Tan Sri Jins akan banyak bercakap sambil mengimbau kenangan lama bersama keluarga sampai jam 9 malam.
"Pada pukul empat petang (Rabu), saya mandikan dia dan bersihkan diri macam biasa dan selepas solat Asar kami minum petang," katanya ketika ditemui media di rumahnya di sini lewat malam Rabu.
BACA: Seniman legenda, Jins Shamsuddin meninggal dunia
BACA: Jins Shamsuddin: "Bukit Kepong, Ali Setan akan terus menjadi ingatan"
Katanya, setiap kali Allahyarham banyak bercakap dia akan melayaninya biarpun perkara sama diulang berkali-kali.
"Dia ada cakap nak balik Taiping, mahu jumpa mak ayah, lama tak jumpa katanya tapi dia lupa, mak ayah dia dah lama meninggal dunia.
"Kami ada bawa dia pulang ke Taiping pada Ramadan tahun lepas untuk bagi dia ingat," katanya.
Tambahnya, Jins kurang bercakap pada Rabu tetapi suapan keempat cucur pisang paling tak dapat dilupakannya.
"Suapan keempat cekodok pisang, beliau tersedak, masa tu jam 5 petang.
"Bila tersedak, saya cuba korek mulut dia sambil tepuk belakang badan.
"Biasanya beliau akan buka mulut tetapi tidak pada hari ini. Saya terus minta bantuan jiran dan kami bawa dia ke klinik.
"Ketika dalam perjalanan tangan beliau dah sejuk macam ais. Saya rasa beliau sudah meninggal dunia ketika dalam perjalanan.
"Sampai saja di klinik, doktor sahkan beliau meninggal dunia selepas empat kali pemeriksaan sebab saya tak puas hati," jelasnya dalam nada sebak.
Beliau disahkan meninggal dunia pada 5:45 petang.
Jenazah dibawa ke rumahnya di Hulu Kelang sekitar 8 malam (Rabu) dan akan disembahyangkan pada 8 pagi Khamis.
Jenazah Jins akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Hulu Klang bersebelahan Masjid ArRidhuan pada jam 10 pagi, Khamis.
#Bukit Kepong #halijah abdullah #Jins Shamsuddin #meninggal dunia #penyakit Alzheimer #Seniman
;