Isteri rayu bantuan kewangan, bimbang keadaan kesihatan Ibnor Riza
Faida Rahim
Februari 28, 2023 17:39 MYT
Februari 28, 2023 17:39 MYT
KUALA LUMPUR: Keluarga Ibnor Riza tidak mempunyai pilihan selain daripada memohon perhatian daripada masyarakat untuk membantu meringankan beban ekoran penderitaan yang dilalui penyanyi terkenal era 1980-an itu.
Menurut Sarimah Sulaiman yang juga isteri kepada penyanyi yang sangat masyhur dengan lagu Meneka Dalam Kesamaran dan Berdiri Seorang Perindu itu, ketika ini dia sekeluarga benar-benar dalam kesempitan untuk membiayai kos rawatan Ibnor.
Dalam masa sama, Sarimah meluahkan kebimbangan dengan perkembangan kesihatan suaminya.
“Kami sekeluarga bimbang dengan keadaan semasa Ibnor. Kami mengharapkan doa orang ramai untuk kesihatan suami.
“Ibnor adalah ketua keluarga jadi apabila suami jatuh sakit, kami berdepan kesukaran. Saya mohon bantuan untuk menampung kos perjalanan bagi tujuan rawatan suami di hospital.
"Jadi jika ada yang sudi beri bantuan kewangan atau dalam bentuk lain, saya amat menghargainya,” kata Sarimah kepada Astro AWANI ketika dihubungi.
Kongsi Sarimah, bagi sesiapa yang sudi menghulurkan bantuan kewangan boleh menyumbang ke akaun bernama Ibnor Riza Bin Ibrahim nombor akaun 114478024958 (Maybank).
Dalam perkembangan berkaitan, Ibnor kini dimasukkan ke wad biasa dan masih dalam pantauan memandangkan bengkak pada lehernya masih kelihatan.
“Doktor masih belum ambil sebarang tindakan kerana dikhuatiri memberi kesan kepada jantung,” katanya.
Bulan lalu, Ibnor dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan disahkan menghidap 'Vocal Cord Palsy' yang membuatkan dirinya sukar bercakap akibat bengkak dialami pada leher.
Penyanyi berusia 62 tahun itu juga sebelum ini dilaporkan menghadapi pelbagai komplikasi antaranya kencing manis, darah tinggi, migrain dan tahap kolesterol kritikal.