Isteri Johnny Depp mengaku bersalah kes seludup anjing

Maisarah Atan
April 18, 2016 19:20 MYT
Amber Heard (kiri), isteri kepada pelakon Johnny Depp (kanan), mengaku bersalah memalsukan dokumen kuarantin untuk membawa dua ekor anjing milik pasangan itu ke Australia. -Gambar fail
AMBER Heard, isteri kepada pelakon Johnny Depp, mengaku bersalah memalsukan dokumen kuarantin untuk membawa dua ekor anjing milik pasangan itu ke Australia.
Bagaimanapun dua dakwaan menyeludup anjing secara haram ke atasnya digugurkan.
Heard membawa dua ekor anjing Yorkshire Terrier bernama Pistol dan Boo ke Australia pada Mei tahun lepas ketika melawat Depp di lokasi penggambaran filem "Pirates Of The Caribbean: Dead Men Tell No Tales."
Kehadiran dua ekor anjing tersebut disedari setelah gambarnya dimuat naik di laman sosial oleh sebuah salun haiwan peliharaan.
Insiden itu menyebabkan 'perang' tercetus di antara mereka dengan Menteri Pertanian Australia ketika itu, Barnaby Joyce yang bertegas bahawa haiwan berkenaan perlu dihantar balik atau berisiko 'ditidurkan'.
Pasangan tersebut pantas menguruskan urusan penghantaran balik haiwan berkenaan dan Heard membuat kenyataan untuk tidak akan kembali ke negara itu.
Heard mengaku bersalah menanda kotak "Tidak" pada kad imigresennya pada bahagian akuan membawa haiwan atau barang terlarang yang lain.
Bagaimanapun, peguamnya menjelaskan, Heard menyangka pembantu Depp telah menguruskan dokumen perjalanan haiwan peliharaan mereka.
Tuduhan menyeludup haiwan boleh membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun jika sabit kesalahan.
Pemalsuan dokumen pula membawa hukuman penjara maksimum setahun dan denda tidak lebih AUD10,000, namun Heard dibebaskan dengan jaminan berkelakuan baik selama sebulan.
Ketika perbicaraan, sebuah video meminta maaf oleh pasangan Heard dan Depp dipertontonkan yang antara lain menggesa umum menghormati undang-undang biosekuriti Australia.
Sumber: YouTube Jabatan Pertanian dan Sumber Air Australia
Video tersebut juga telah dimuat naik di akaun YouTube rasmi Jabatan Pertanian dan Sumber Air Kerajaan Australia, dan mendapat reaksi bercampur baur daripada netizen.
Australia mempunyai peraturan kuarantin yang ketat bagi mencegah penyakit seperti anjing gila dan membawa masuk haiwan ke negara itu memerlukan permit, serta kuarantin selama sekurang-kurangnya 10 hari.
#Amber Heard #dua ekor anjing #Johnny Depp #palsu dokumen kuarantin #Yorkshire Terrier
;