Isteri Hafiz Hamidun mohon pembubaran nikah

Madiha Abdullah
Ogos 21, 2017 12:47 MYT
Hafiz dan Joy Revfa diijabkabulkan di Masjid Negeri, Shah Alam pada 1 Mei 2017 dengan sekali lafaz.
SITI Arifah Amin, isteri kepada penyanyi lagu ketuhanan, Hafiz Hamidun, telah memfailkan faraq atau pembubaran pernikahan di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Jumaat lalu.
Ia adalah susulan tindakan Hafiz mempertikaikan status pernikahan mereka.
Siti Arifah yang lebih dikenali dengan nama Jov Revfa, menjelaskan, tindakan itu dibuat demi menuntut keadilan dan mahu membuktikan bahawa tiada isu yang memungkinkan pernikahan mereka tidak sah.
Joy memberitahu media, Hafiz membuat dakwaan demikian dengan alasan ada isu pada perceraiannya dengan bekas suami sebelum ini.
"Saya mahu mempertahankan hak dan kemaslahatan saya sebagai wanita, dan membuktikan perkahwinan kami sah di sisi agama dan undang-undang.
"Selepas berkahwin pada 1 Mei lalu, hanya enam hari sahaja Hafiz tinggal di rumah saya. Selama itu, dia seorang suami yang penyayang dan kami menjalani kehidupan sebagai suami isteri seperti pasangan lain.
"Tetapi pada 23 Mei, dia tiba-tiba sahaja datang berjumpa saya dan membuat dakwaan meragui status perceraian saya dengan bekas suami.
"Selepas itu dia mula mengabaikan saya. Sebagai isteri saya sangat sedih," kata Joy dalam sidang media di mahkamah pagi ini yang disiarkan secara langsung di laman Facebook Harian Metro.
Dalam tempoh hampir tiga bulan, kata Joy, dia sudah cuba sedaya upaya untuk berbincang dan mencari jalan penyelesaian, namun tindakan Hafiz yang tidak mengendahkan dirinya menyukarkan usaha itu.
"Dia seolah-olah tak mahu mengaku lagi saya isterinya sedangkan saya sampai ke hari ini masih anggap dia suami saya," katanya.
Tambah Joy, tindakan memohon pembubaran ini dibuat sebagai usaha untuk meredakan semua isu berbangkit dan mencari jalan penyelesaian.
Permohonan pembubaran dibuat mengikut Seksyen 61(3)(b)(1) dan Seksyen 62(1)(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003.
Kes akan disebut semula pada 14 September ini.
Hafiz dan Joy Revfa diijabkabulkan di Masjid Negeri, Shah Alam pada 1 Mei 2017 dengan sekali lafaz.
Joy Revfa pernah berkahwin sebelum ini dan mempunyai seorang anak lelaki bernama Arryan Firdaus yang kini berusia tiga tahun.
#Hafiz Hamidun #Joy Revfa #mahkamah #syariah #undang-undang
;