Isteri dituduh guna bomoh, Izzue Islam cabar tunjuk bukti

Sinar Harian
Mei 16, 2018 20:03 MYT
Menganggap tuduhan tersebut sebagai fitnah, Izzue yang juga merupakan anggota kumpulan Fourteen menggesa agar individu terbabit menghentikan perbuatannya. - Foto Astro GEMPAK
PENYANYI dan pelakon Izzue Islam kesal dan marah dengan tohmahan individu yang menuduh isterinya, Awin Nurin mengamalkan ilmu hitam untuk mengawalnya.
Biarpun sudah terbiasa dengan gosip yang melanda, namun kesabarannya kali ini benar-benar teruji dan menyifatkan tindakan itu sebagai sesuatu yang tidak bertanggungjawab.
Menganggap tuduhan tersebut sebagai fitnah, Izzue yang juga merupakan anggota kumpulan Fourteen menggesa agar individu terbabit menghentikan perbuatannya.
“Ini bukan kali pertama tomahan dilemparkan terhadap kami. Namun kali ini, ia meninggalkan impak berbeza kerana memfitnah dan menuduh isteri menggunakan bomoh terhadap saya.
“Saya terkilan kerana individu yang membuat tuduhan seperti tidak ada agama dan tidak beri bukti.
“Hentikanlah buli siber kerana ia memberi impak negatif kepada banyak pihak. Jika kurang pasti, jangan mulakan sesuatu yang tidak pasti kesahihannya. Mentaliti begini harus dihentikan,” katanya sebagaimana yang dipetik daripada sebuah portal hiburan.
Dalam masa yang sama, Izzue turut menggesa individu terbabit tampil dengan bukti sekiranya ia benar berlaku dan bukan sekadar menulis di laman sosial untuk membuli semata-mata.
Izzue atau nama lengkapnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, 27, mendirikan rumah tangga bersama Awin Nurin pada 2 Jun 2013 dan masih belum dikurniakan cahaya mata.
#Awin Nurin #buli #fitnah #Fourteen #hiburan #Izzue Islam #karier #laman sosial
;