Isteri Awie tidak hadir, proses perbincangan hak jagaan anak-anak gagal
Bernama
Ogos 6, 2014 16:18 MYT
Ogos 6, 2014 16:18 MYT
Proses 'Sulh' atau perbincangan mengenai hak jagaan kekal tiga orang anak hasil perkongsian hidup antara penyanyi rock terkenal Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman dengan isterinya, Rozana Misbun, gagal apabila wanita itu tidak hadir di Mahkamah Syariah di sini hari ini.
Peguam Mohd Hafizal Parcho yang mewakili Awie ketika ditemui berkata, proses berkenaan hanya dihadiri anak guamnya di hadapan pegawai bertugas iaitu Surayah Ramlee, di Pejabat Bahagian Sulh, Mahkamah Syariah di sini.
"Sepatutnya hari ini perbincangan antara pihak anak guam saya dan Rozana mengenai siapa akan menjaga anak-anak itu tetapi disebabkan Rozana gagal hadir, maka proses ini gagal dan mahkamah menetapkan kes diteruskan dengan sebutan semula.
"Pihak kami ada menerima faks daripada Rozana semalam memaklumkan bahawa dia tidak dapat hadir. Bagaimanapun dia tidak menyatakan sebabnya," kata peguam itu.
Mohd Hafizal berkata, mahkamah menetapkan 3 Sept ini untuk sebutan semula kes itu.
Proses 'Sulh' adalah satu daripada alternatif yang efektif kepada mana-mana pasangan selain kaedah perbicaraan dan timbang tara untuk mendapatkan penyelesaian rumahtangga.
Pada 21 Julai lalu, Awie, 46, berjaya mendapatkan hak penjagaan sementara ketiga-tiga anaknya dan perintah injunksi supaya isterinya itu tidak mendekatinya dan ketiga-tiga anak itu dengan apa jua cara.
Sementara itu, Awie ketika ditemui enggan memberikan sebarang komen mengenai ketidakhadiran isterinya itu.
Penyanyi rock itu bernikah dengan Rozana, 36, di Songkhla, Thailand pada 20 Jun 2005 dan dikurniakan tiga anak iaitu Putra Ahmad Merrah, 7, Putra Ahmad Rezzki, 6, dan Puteri Qasseh Antasha, 4.
Pada 4 Julai lalu, Awie, pelakon utama filem 'Zombie Kampung Pisang' dan 'Hantu Kak Limah' didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Rozana, di sebuah rumah di Taman Ukay Bistari.
Dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.