Istana Budaya bawa Teater Muzikal Hang Li Po ke pentas Encore Melaka

Bernama
Mac 1, 2024 08:15 MYT
Menurut Zubaidah, pementasan Teater Muzikal Hang Li Po dihidupkan kembali sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Teater Muzikal Puteri Hang Li Po yang diberi nafas baharu merupakan antara tiga program utama bakal dipersembahkan oleh Istana Budaya (IB) di pentas Encore Melaka, dijangka pada Oktober ini.
Ketua Pengarahnya, Zubaidah Mukhtar berkata, teater muzikal yang mengimbau sejarah kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka dan pernah dipentaskan di Panggung Sari, IB pada 2004 itu dihidupkan kembali sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.
"Mengekalkan keaslian jalan cerita dengan beberapa penambahbaikan, lima pementasan (Teater Muzikal Puteri Hang Li Po) ini akan menjadi bukti kerjasama strategik bersama Encore Melaka yang telah menjadi venue persembahan antarabangsa tersohor.
"Istana Budaya akan menjadi sebahagian pemangkin kepada usaha kerajaan melalui MOTAC (Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya) menyemarakkan industri pelancongan budaya melalui Teater Muzikal Hang Li Po yang mempunyai signifikan kepada simbolik sambutan hubungan diplomatik dua negara ini," katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Program IB 2024 dan Buku Rekaan Kostum.
Zubaidah berkata, dua program utama lain ialah Jangkauan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM): Sounds of Malaysia yang mendapat kerjasama beberapa institusi pengajian tinggi selain program Lambang Sari Series yang mendapat sambutan jualan tiket di luar jangkaan (panggung penuh) tahun lepas.
"Produk istimewa oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan atau OSK ini juga akan berada di beberapa venue persembahan terpilih dalam negara," katanya.
Zubaidah turut berkongsi kejayaan pelaksanaan 29 program dengan nilai publisiti media sebanyak lebih RM750 juta tahun lepas dan mengumpul seramai lebih 154,000 penonton di Istana Budaya, sekali gus membantu kepesatan industri serta pulangan penjanaan ekonomi kebudayaan.
Pada majlis yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC, Mohd Yusri Mohd Yusoff itu, IB turut melancarkan buku rekaan kostum Teater Muzikal Hang Li Po dan Muzikal Cheng Lok serta Buku Rekaan Kostum Teater Kanak-Kanak Muzikal Ali Baba dan Muzikal Sinbad, sebagai bahan rujukan proses penyediaan kostum persembahan di IB.
Mohd Yusri turut menyampaikan sijil penghargaan Nilai Publisiti Media Tertinggi 2023 kepada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Harian Metro dan Berita Harian.
Selain itu, Zubaidah berkata, kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan bangunan termasuk bumbung pusat tersebut yang bermula Jun lepas, berjalan lancar.
Bangunan panggung IB ditutup dan tidak akan beroperasi untuk sebarang acara atau pementasan sehingga 5 Jan 2026 dan dijangka dibuka pada tahun yang sama selaras dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
- BERNAMA
#Istana Budaya #teater muzikal #Hang Li Po #encore melaka
;