Isha Norsham teruja hiburkan pendengar ERA
Asyraf Roslan
Januari 5, 2021 07:00 MYT
Januari 5, 2021 07:00 MYT
SATU perubahan drastik.
Itulah yang boleh digambarkan personaliti sosial media, Isha Norsham apabila dipilih untuk sama-sama menjadi sebahagian keluarga besar radio nombor satu Malaysia, ERA fm.
Isha yang dahulunya seorang penari di pentas dan muzik video, kini mengendalikan program hiburan "Gempak TV" dan terbaharu "Gempak Hit ERA bersama Isha".
Bagaimanapun, Isha atau nama sebenarnya Nurul Farisha Norsham, 24, mengakui dia langsung tidak menyangka dapat menjadi sebahagian ahli keluarga ERA yang baharu, serta menyifatkannya sebagai satu transformasi besar dalam hidupnya.
"Sejujurnya saya tidak mempercayai yang saya akan bergelar penyampai radio tapi bagi saya mengapa kita tidak mencuba sesuatu yang baharu dalam hidup.
"Walaupun saya sendiri rasa suara saya tidak sesuai tapi saya yakin ini satu cabaran untuk saya hiburkan pendengar ERA dan kongsi maklumat bersama mereka," katanya.
Pada masa sama, Isha yang menjadikan Abby Fana sebagai idolanya dalam penyiaran radio menyatakan minatnya untuk cuba menjadi penyampai radio apabila menyertai program selian Datuk Aznil Hj Nawawi iaitu "Basic On Air Talent" (BOAT)
"Minat itu timbul masa saya sertai BOAT dan belajar mengenai radio bersama cikgu Abby.
"Harap satu hari nanti saya akan dapat jadi sehebat dia," tambahnya.
Gempak Hit ERA bersama Isha akan menyampaikan perlbagai kandungan baharu dan menarik di ERA termasuk termasuk informasi terkini, berita hiburan menarik, info gaya hidup, info sukan dan trend terkini di media sosial.
Lebih menarik anda boleh membuat permintaan lagu menerusi IG Stories Era.je dalam segmen tersebut.
Anda boleh strim Gempak Hit ERA bersama Isha setiap Isnin hingga Jumaat, jam 1 petang hingga 4 petang di udara dan aplikasi SYOK.