Isa AF2016: Kalau persembahan teruk, saya minta maaf
Gempak
Ogos 29, 2016 10:00 MYT
Ogos 29, 2016 10:00 MYT
PELAJAR AF2016 yang tersingkir, Isa memohon maaf jika persembahannya di konsert kedua AF tidak memuaskan hati penonton.
"Kalau nyanyian dan persembahan teruk, saya minta maaf. Saya tak mampu nak puaskan hati semua orang.
“Saya akui persembahan minggu lalu agak ‘dasyat’ kerana tidak sihat dan mengalami kecederaan pada bahagian ‘vokal cord’. Bagaimanapun saya tak mahu jadikan itu satu alasan dan tetap teruskan nyanyian.
“Untuk minggu ini saya dah cuba sedaya upaya tapi mungkin bagi mereka usaha saya itu masih belum cukup.
“Rezeki saya hanya setakat di konsert kedua. Saya terima dengan redha dan selepas ini saya akan belajar dan perbaiki kelemahan untuk buktikan saya mampu lakukan lebih baik daripada ini,” katanya ketika ditemui Astro Gempak sejurus tamat konsert kedua AF2016 yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) semalam.
Mengulas mengenai persembahannya, pelajar berusia 23 tahun ini memberitahu dia bersyukur kerana dapat membuat persembahan dengan baik tanpa sebarang masalah seperti minggu pertama.
“Jujur saya katakan tak berapa puas hati kerana saya rasa boleh berikan yang lebih baik berbanding persembahan tadi.
“Dalam masa yang sama saya juga rasa bersyukur kerana minggu ini seperti yang Datuk Ac komen, nampak perubahan yang baik berbanding minggu lalu.
“Tapi tak apalah, benda dah berlaku (tersingkir), rezeki tuhan itu luas kita tak tahu apa yang dah diaturkan.
“Mungkin ada peluang lain diluar kita tidak tahu, yang penting jangan putus asa untuk mencuba.
"Mengenai komen juri, saya tidak berkecil hati malah saya terimanya secara terbuka kerana saya tahu komen-komen seperti itulah yang membuatkan kita faham di mana kekurangan kita” ujarnya.
Dengan bertemakan ‘throwback', Isa telah menyampaikan lagu berjudul Ketahun nyanyian asal Matta Band diumumkan sebagai pelajar tersingkir di konsert kedua AF2016 dengan peratusan undian sebanyak 2.4 peratus.
Selain Isa, dua pelajar lain yang tersingkir ialah Rais, 5.2 peratus dan Halmy 4.9 peratus.
Saksikan Konsert AF 2016 yang bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) secara ekslusif menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada setiap hari Ahad, jam 9 malam.
Manakala rutin harian para pelajar menjalani kehidupan di akademi pula boleh ditonton menerusi Diari AF 2016 pada setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6.30 petang bermula 15 Ogos di saluran sama.
Untuk mengikuti perkembangan pelajar, layari Akademi Fantasia.