Irwansyah pula positif COVID-19
Agensi
Julai 14, 2021 16:59 MYT
Julai 14, 2021 16:59 MYT
JAKARTA: Penyanyi dan pelakon Indonesia, Irwansyah, umumkan positif COVID-19 walaupun mengakui sudah dua minggu dia langsung tidak keluar rumah dan tetap menjaga protokol kesihatan.
Irwansyah, yang pernah popular dalam kalangan peminat di Malaysia melalui lagu My Heart, berkongsi khabar itu menerusi YouTube The Sungkars Family.
"Hari ini aku dinyatakan positif (COVID-19). Tapi Alhamdulillah CT (nilai ambang)nya tinggi, 29," kata Irwan yang sebelum itu mengambil ujian antigen dan menunjukkan hasil negatif, sebelum mendapat khabar sebaliknya ketika membuat ujian PCR.
Selebriti itu yang masih bersedih atas kehilangan ayahnya, Ummar Effendy, pada Khamis lalu akibat COVID-19, menjangka jangkitan pada dirinya tertular daripada adiknya.
"Aku kena kerana adik aku kena. Kita sudah dua minggu lebih benar-benar di rumah, tak ke luar rumah," tutur Irwansyah.
Dalam pendedahan itu, Irwansyah sempat menitipkan peringatan kepada semua agar tetap menjaga protokol kesihatan dan membataskan interaksi orang yang masuk ke dalam rumah.
Sehingga kini, dia berharap status positif COVID-19 itu tidak membawa sebarang gejala kepadanya.
"Belum ada gejala apa-apa, janganlah, jangan. Cuma tubuh seperti ada (rasa) berlawanan, seperti virus mahu memberi kesan. Alhamdulillah (setakat ini) badannya ‘fit-fit’ aja," kata Irwansyah lagi.
#Irwansyah
#positif COVID-19
#penyanyi dan pelakon
#My Heart
#Ummar Effendy
#Indonesia
#artis indonesia