Intercontinental World Cultures kembali sebagai hab budaya bermula 19 Nov ini

Astro Awani
November 17, 2024 09:15 MYT
ICWC 2024 akan berlangsung mulai 19 hingga 21 November ini di MITEC, Kuala Lumpur. - Foto ICWC
KUALA LUMPUR: Intercontinental World Cultures (ICWC) 2024 bakal kembali sebagai hab budaya, seni dan diplomasi global, di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.
Dianjurkan buat tahun kedua sempena Smart Nation Expo 2024, lebih 40 negara akan menyertai ICWC 2024 anjuran Udsmedia Sdn Bhd itu yang dijadual berlangsung 19 hingga 21 November ini.
Menurut penganjur, acara itu penting dalam menyatukan negara dari seluruh dunia dalam kepelbagaian perayaan serta mencetuskan hubungan dan komunikasi yang bergema di luar batas sempadan.
"Sebagai pesta kebudayaan dan komunikasi, misi ICWC 2024 ialah untuk memperjuangkan pandangan budaya dan komunikasi secara inklusif, sebagai nadi komuniti global yang bersatu.
"Ini bukan acara biasa buat pengunjung kerana ia menjanjikan pengalaman baharu mengenali dunia luar melalui pemandangan, bunyi dan cerita.
"Daripada pameran yang menarik perhatian, barisan panel yang mencetuskan pemikiran, serta persembahan pentas, ICWC 2024 pasti akan membuatkan pengunjung yang hadir terpikat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Acara selama tiga hari itu akan menampilkan pameran antarabangsa yang menyerlahkan tradisi unik, inovasi dan kisah negara di seluruh dunia selain persidangan antarabangsa.
Persidangan itu akan menghimpunkan pemimpin industri dan pakar budaya untuk membincangkan bagaimana budaya boleh menjadi penggerak dalam komunikasi dan pertumbuhan ekonomi.
Selain itu, tambah penganjur, pengunjung akan dihiburkan dengan persembahan kebudayaan dan tarian tradisional, muzik dan seni yang melukiskan gambaran kekayaan warisan dunia.
Menurutnya lagi, pertunjukan gabungan fesyen pula akan menampilkan reka bentuk yang memberi penghormatan kepada Malaysia untuk diperkenalkan di mata dunia.
ICWC akan diserikan dengan pertunjukan fesyen pakaian tradisional oleh Malaysian Global Runaway, menyaksikan kemunculan Mrs Diva International 2022 dan Naib Juara Mrs International Glam Icon 2022.
"Turut diadakan, forum pendidikan, perbincangan bernas bagi meneroka kepentingan literasi budaya dan dialog antara budaya, selain pertandingan sajak yang bakal menyuntik semangat ekspresi budaya.
"Tidak dilupakan, persembahan Istimewa daripada Ikon Pop Etnik iaitu Noraniza Idris pada 21 November,” katanya.
Penganjur berkata, ICWC 2024 bukan sekadar acara namun gerakan yang merangkumi budaya sebagai tonggak penting dalam kemajuan komunikasi.
“Para hadirin boleh mendapat ilham daripada tenaga pengalaman yang terlibat dalam dialog yang mampu memupuk empati dan hubungan.
“Ini kerana, ICWC 2024 bertujuan mempromosi dunia di mana celik budaya adalah norma bagi membina jambatan memupuk perpaduan dalam kepelbagaian, sama ada buat peminat budaya dunia, pemimpin perniagaan dan pengunjung yang hadir untuk sekadar ingin tahu,” katanya.
Maklumat lanjut berhubung ICWC 2024 boleh diperoleh dengan melayari www.smartnationexpo.org.
#ICWC 2024 #budaya #Seni #perpaduan
;