Insan di sebalik lagu 'Standing In The Eyes Of The World' imbas cerita lama
Ridauddin Daud
Ogos 2, 2020 10:00 MYT
Ogos 2, 2020 10:00 MYT
“MASA mula-mula saya cipta dan dengar sedikit petikan lagu ini, meremang bulu roma saya. Hati saya terus berkata, lagu ini istimewa, boleh pergi jauh.
"Jadi saya sambung cipta lagi,” komposer terkenal, Datuk Wah Idris membuka bicara.
Matanya merenung jauh, cuba mengingati semula detiknya mencipta lagu ikonik nyanyian Ratu Rock negara, Ella, itu.
“Masa itu Malaysia akan mengadakan Sukan Komanwel, itu merupakan saat yang membanggakan buat Malaysia.
"Saya sebagai pemuzik terfikir, kalaulah saya boleh cipta sebuah lagu untuk hidupkan semangat ahli sukan dan rakyat Malaysia.
“Lagu itu mesti menunjukkan keyakinan, kejujuran. Saya ambil pen, saya terus tulis, tak fikir apa pun lagi, saya tulis apa saja ada dalam kepala.
“Ada sebahagian melodinya buat saya ada rasa ‘seram’, ada rasa seronok juga. Saya pun bersemangat, terus mencipta lagi sampailah terhasilnya Standing In The Eyes Of The World,” katanya kepada Astro AWANI.
Bicaranya terhenti seketika. Sambil menghirup air serai yang berada di hadapannya, Wah menyambung kisah istimewanya dengan lagu masterpiece itu.
Apabila susunan lagu selesai, pemuzik kelahiran Ipoh itu - walaupun takut dan bimbang - membawa karyanya kepada kementerian berkaitan.
“Saya bersyukur kerana mereka terbuka dan sudi untuk mendengar karya saya,” ujarnya.
Bukan mudah untuknya menghasilkan lagu itu namun tindakan berani membawa karya itu kepada kementerian ternyata membawa tuah kepadanya.
Benar kata pepatah, jika tidak dipecahkan ruyung, manakan mungkin mendapat sagunya. Jika Wah layankan ketakutannya, mana mungkin kita dapat mendengar salah satu lagu paling berpengaruh di Malaysia.
Semangat sungguh komposer itu bercerita. Tangannya diangkat kiri kanan, badannya juga bergerak seiring, ketara sungguh keterujaannya ketika mengimbau semula saat bersejarah itu.
Hampir selesai kisah di sebalik penciptaan lagu, kali ini soalan penulis menjurus pula kepada Ella, pemilik suara serak basah, pelantun lagu bergenre light rock dalam karya ciptaannya itu.
Langsung Wah ketawa mendengar soalan penulis. Jelasnya, bekerjasama dengan Ella sungguh mudah apatah lagi penyanyi itu memang suka dengan lagu tersebut.
“Kalau bekerja dengan Ella ni, memang happy sajalah. Lagu ini dia suka, lagi senang untuk dia menjiwainya. Konsep, ideologi lagu ini juga kena dengannya.
“Itulah jadinya kalau kita padankan lagu dengan penyanyi yang sesuai, memang semuanya kena dan sedap jadinya. Syukur Ella melakukannya dengan sangat baik, saya gembira,” katanya.
Bila sebut Standing In The Eyes Of The World, orang terus kaitkan dengan Ella, semua orang tahu. Tapi, tak semua tahu, ada empat lagi penyanyi popular pernah menyatakan hasrat untuk menyanyikan lagu itu.
Penulis cuba mengorek lagi rahsia, mana tahu terbocor satu atau dua nama. Ternyata bukan mudah membuatkan Wah tersilap bicara, nama-nama tersebut disemat erat, tidak sekali pun terpacul keluar dari mulutnya.
Sambil ketawa, dia melabelkan penyanyi itu sebagai: “Ada penyanyi A, B, C, D, E dan akhirnya saya pilih E. E tu orang tahulah siapa, Ella lah,” katanya, ketawa lagi.
Untuk memilih Ella bukan tugas mudah kerana yang datang kepadanya bukan penyanyi calang-calang, bukan ‘baru nak up’ tapi hebat-habat semuanya.
“Jadi saya kena buat analisis. Penyanyi A, kuatnya di mana, lemahnya di mana. Penyanyi B, C, D dan E pun begitu. Akhirnya Ella pilihan saya.
“Dalam kepala saya, lagu ini saya nak dengar dalam light rock jadi saya rasa Ella adalah pilihan paling tepat. Tak salah pilihan saya, pada saya pilihan itu memang tepat dan magnificent,” ujarnya.
Hampir ke penghujung bicara, Wah berkata antara kenangan paling indah berkaitan lagu itu adalah apabila dia menerima surat penghargaan daripada Perdana Menteri pada waktu itu, Datuk Seri (sekarang Tun) Dr Mahathir Mohamad.
“Habis saja temasya, saya dapat surat daripada Perdana Menteri. Saya rasa sangat berbangga, saya bingkaikan terus, sampai sekarang ada di rumah saya,” katanya.
Hampir satu jam berbual dengannya, masa seakan berlalu dengan pantas, seronok sungguh mendengar pencipta itu mengimbau semula kisahnya dengan lagu ikonik berkenaan.
“Sudahlah, banyak dah rahsia saya kongsi dengan awak hari ini,” katanya, ketawa lagi sebelum kami merakam gambar kenangan dan seterusnya bersedia untuk berangkat pulang.
Mungkin ramai hanya mengenali lagu ini menerusi Ella namun ketahuilah di belakang lagu tersebut ada Wah dan seorang lagi komposer Barat, David Gates.
Pastinya, lagu itu akan terus membuatkan Wah, Ella dan Malaysia terus Standing In The Eyes Of The World, dulu, kini dan selamanya.
* Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !
#1998
#Datuk Wah
#Datuk Wah Idris
#David Gates
#Ella
#Ipoh
#lagu patriotik
#menteri
#Perdana Menteri
#rakyat
#rakyat Malaysia
#shm
#Standing In The Eyes Of The World
#sukan
#Sukan Komanwel
#SUKOM