Inilah perjalanan anak seni yang sentiasa dirompak - Amy Search
Hilal Azmi
Mac 10, 2018 17:55 MYT
Mac 10, 2018 17:55 MYT
Penyanyi kumpulan lagenda rock Malaysia, Suhaimi A Rahman atau lebih dikenali sebagai Amy Search menyatakan kekecewaannya selepas mendapati hasil seni yang dicetak rompak dijual secara terang-terangan.
Menerusi muat naik terbaru di laman instagramnya, beliau mengakui kes sebegini sudah lama berlaku malah 'perompak' hasil seni anak bangsa seolah tanpa segan menjualnya secara terbuka.
"Dari album pertama kita dah buat kempen pasal cetak rompak bayangkan dari tahun 1985 smpailah sekarang 2018.
"Hasil pendapatan dari cetak rompak pun meningkat dan hasil paling tinggi dikutip dari album Fenomena yang ada lagu Isabella.
"Masa tu, album terjual lebih 200,000 unit.
"Mana taknya, orang Cina dan India pun beli album tersebut malah diminati semua bangsa termasuk di Indonesia, Brunei dan Singapura.
"Tak habis di situ, keluar pula filem Isabella dan Fenomena yang menjadi box office, pun kena rompak," jelasnya.
Tambah Amy, pemikiran 'perompak' sangat mudah, asalkan ianya laris.
"Hari ini aku dah 37 tahun dalam industri tapi mereka masih tak pernah berhenti merompak walaupun keadaan sekarang amat berbeza dari dahulu.
"Penjualan fizikal sangat terhad dan yang membeli adalah peminat fanatik yang menjadikan ia sebagai koleksi.
"Selagi ada pembeli selagi tu mereka jual walaupun salah di sisi undang-undang.
"Lebih teruk lagi ia dijual secara terang-terangan tanpa sedikit pun rasa hormat," tambahnya yang nyata kecewa.
Malah, beliau menyifatkan jika hukuman sebat dikenakan kepada 'perompak' hasil seni, semestinya tiada lagi yang berani berbuat demikian.
"Kita buat album pecah kepala otak bersengkang mata, bagi yang terbaik dari segi melodi, lirik, kulit album, bunyi dengan kos rakaman yang tinggi.
"Kalau dibandingkan dengan mereka, kosnya berapa sen sangat, silap-silap tak kena cukai," tambahnya.
#Album paling laris
#Album Search Cetak Rompak
#Amy Search
#Cetak rompak
#Filem Box Office
#Isabella
#KPDNKK
#search