'Ini ujian buat saya' - Da’i Syed

Sinar Harian
Julai 11, 2024 05:45 MYT
Meskipun sudah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam tahun lalu, Syed berkata, dia tetap meneruskan kehidupan seperti biasa.- Foto Sinar Harian
PENDAKWAH selebriti Da'i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful menganggap kes pertuduhan merogol seorang wanita, lima tahun lepas sebagai satu ujian ALLAH buatnya.
Tidak menafikan penat kerana kes berkenaan belum selesai, meskipun sudah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam tahun lalu, Syed berkata, dia tetap meneruskan kehidupan seperti biasa.
“Ikutkan memang saya sudah penat, tetapi ini qada qadar, Allah beri ini sebagai ujian buat saya.
“Walaupun berdepan ujian, hidup perlu diteruskan seperti biasa. Doa saya, insya-Allah, kehidupan dan kerjaya saya dipermudahkan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Dajal di Wisma MIG pada Rabu.
Lebih bermakna ujar lelaki berusia 29 tahun itu, dia akan menimang cahaya dalam tempoh kurang tiga minggu lagi.
Bagaimanapun setakat ini Syed belum bersedia berkongsi maklumat lanjut termasuk jantina anak sulung hasil perkahwinannya dengan pengacara Hana Ismail.
“Alhamdulillah tak lama lagi saya nak timang cahaya mata, betullah bila nak timang anak, rezeki semakin bertambah.
“Selain itu, saya juga sibuk sebagai ejen pelancongan manakala isteri menjalankan perniagaan berasaskan batu permata,” ujarnya.
Dalam pada itu, diminta mengulas mengenai penarikan balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam, Syed berkata, dia berbuat demikian kerana merasakan ia tidak lagi kompeten untuk diteruskan.
"Memang saya menarik rayuan itu kerana saya sudah lakukan pembelaan. Pada asalnya, saya mahu membuat rayuan, tetapi prosidingnya pada Julai.
"Jadi, bila saya dah bela diri pada Jun, maka ia (proses rayuan) sudah tidak kompeten. Jadi, saya ke Mahkamah Persekutuan di Putrajaya dan menarik balik rayuan itu,” jelasnya.
Tambah Syed, keputusan kes berkenaan dijangka diketahui pada Ogos depan.
"Apa pun, saya sudah melakukan yang terbaik untuk pembelaan saya pada Jun lalu," ujarnya.
Sekadar info, pada 10 April 2023, Mahkamah Sesyen Shah Alam melepas dan membebaskan Syed daripada pertuduhan merogol selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya, di akhir kes pendakwaan.
Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol wanita berusia 23 tahun (ketika itu) di dalam bilik di sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 di sini, kira-kira jam 1.35 malam, pada 11 Sept 2019.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Pada 31 Mei 2022, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya turut melepas dan membebaskan Syed Shah Iqmal daripada dua pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii dan mencabul seorang penuntut sebuah kolej swasta.
*Artikel disiarkan di Sinar Harian
#pendakwah selebriti #Da'i Syed #kes rogol #dilepas dan dibebaskan #ujian Allah