Ini turutan terbaik untuk menonton enam filem Star Wars terdahulu

Nizam Bakeri
Disember 15, 2015 16:49 MYT
Rod Hilton, seorang blogger telah memperkenalkan satu turutan untuk mendapatkan kepuasan maksimum menonton francais Star Wars.
Amaran: Artikel ini mengandungi spoiler.
17 Disember ini bakal menyaksikan para peminat Star Wars akan berpusu-pusu ke pawagam untuk menonton filem ketujuh francais tersebut.
Ini juga bermakna mereka akan menjalankan ‘ulangkaji’ dengan menonton kesemua filem yang telah diterbitkan sebelum The Force Awakens. Bagi peminat baru, mereka mungkin akan menonton keenam-enam filem tersebut buat kali pertama.
Persoalannya, apakah turutan terbaik untuk mengimbas kegemilangan empayar ciptaan George Lucas ini?
Turutan biasa
Pertama, turutan terbitan. Ini bermakna anda akan menonton bermula dengan Episode IV yang diterbitkan pada tahun 1977, diikuti dengan Episode V (1980), Episode VI (1983), Episode I (1999), Episode II (2002), dan akhir sekali Episode III (2005).
Namun begitu, turutan ini mengelirukan kerana selepas Empire dimusnahkan dalam Episode VI, anda perlu berhadapan dengan karakter Anakin Skywalker, seorang remaja yang tidak pun kelihatan dalam tiga filem sebelum ini akan mengelirukan dan tidak memberi kepuasan di penghujung maraton filem anda.
Kedua, turutan episod. Ini bermakna anda akan menonton mengikut nombor episod seperti mana yang dikehendaki oleh George Lucas: I, II, III, IV, V, dan VI.
Malangnya, turutan ini mempunyai kelemahan yang ketara. Anda tidak akan terkejut lagi dengan pendedahan bahawa Darth Vader merupakan bapa Luke Skywalker yang hanya didedahkan dalam Episode V.
Turutan ini juga membosankan kerana tiga filem pertama hanyalah latar belakang kepada tiga filem terkemudian yang menjadi tunjang pengkisahan Star Wars. Adakah anda mahu menonton tiga filem berturut-turut hanya untuk imbas semula?
Sudah pasti tidak.
Turutan Machete
Turutan ini diperkenalkan oleh blogger Rod Hilton pada tahun 2011. Bagi mendapatkan kepuasan maksimum menonton francais Star Wars, Hilton mencadangkan turutan ini: IV, V, II, III, VI.
Perkara pertama yang akan anda sedari, Episode I tidak disenaraikan dan Hilton mempunyai sebab yang tersendiri.
Apakah yang akan diperoleh apabila penonton memilih turutan ini bagi menikmati maraton filem mereka?
Tidak ada kejutan yang dibongkar awal
Turutan ini memelihara kejutan seperti Darth Vader merupakan bapa Luke Skywalker. Begitu juga kejutan bahawa Luke dan Leia yang diketahui dalam Episode III melalui adegan Padme menamakan bayi perempuan di samping Luke sebagai Leia.
Kejutan ini lebih baik berbanding ‘turutan terbitan’ apabila Yoda mendedahkan terdapat ‘seorang lagi Skywalker’ dalam Episode VI. Dalam Turutan Machete, kita dapat ‘melihat’ kejutan itu dan bukan mendengarnya dari mulut Yoda.
Mengelakkan penderitaan menonton Episode I
Menurut Hilton, tidak ada apa-apa yang penting dalam Episode I untuk membentuk kefahaman tentang Star Wars secara keseluruhan. Majoriti peminat filem juga berkongsi pandangan sama bahawa The Phantom Menace merupakan filem Star Wars terburuk.
Dengan turutan ini anda tidak perlu menonton Jar Jar Binks, antara karakter yang paling menjengkelkan dalam sejarah perfileman. Anda juga melangkau fasa Anakin Skywalker sebagai kanak-kanak yang hanya tahu merengek.
Memahami alam Star Wars dengan lebih baik
Turutan ini bermula dengan Episode IV, filem terbaik untuk anda berkenalan dengan Star Wars. Selepas pengakhiran Episode V yang sarat dengan kejutan, anda akan menonton Episode II dan Episode III sebagai imbas semula dan memahami pendedahan Darth Vader sebagai bapa Luke Skywalker.
Akhir sekali, anda akan menonton Episode VI yang menyimpulkan dua filem tentang Luke dan dua filem tentang Anakin dengan sempurna.
Cubalah turutan ini untuk mengembalikan memori tentang francais terlaris sepanjang zaman ini sebelum bertemu semula dengan Han Solo, General Leia, dan Luke Skywalker di samping Rey dan Finn 17 Disember ini.
#Rod Hilton #Star Wars #The Force Awakens
;