Ini senarai filem dengan kutipan 'menyedihkan' sepanjang masa
Agensi
September 2, 2019 17:28 MYT
September 2, 2019 17:28 MYT
SEBAGAI penggiat filem, pastinya mereka menabur harapan agar hasil karya filem arahan mereka itu dapat mendapat sambutan baik, dan lebih baik jika mampu menembusi pasaran luar.
Ini kerana setiap kali pengarah mahupun penerbit ingin melancarkan sesebuah filem, mereka mengharapkan mesej dan karya hasil penat lelah kerja produksi mereka itu boleh dinikmati oleh seberapa ramai penonton seterusnya membawa pulangan modal yang besar.
Namun, hakikat sebagai penggiat industri seni filem tidak semudah itu. Tidak bermakna filem yang mendapat kutipan pecah panggung merupakan filem terbaik, dan begitulah sebaliknya.
Pernahkah anda terfikir bahawa sesebuah filem itu hanya mampu mengutip serendah AS$30 (RM126) sahaja sepanjang ia ditayangkan?
Jika sebelum ini kita sering melihat senarai filem yang mendapat kutipan pecah panggung sehingga berbillion ringgit, berikut adalah sumber laporan portal, Mentalfloss yang menyenaraikan enam buah filem 'box office' yang tidak melebihi kutipan RM1,000 sekalipun.
1) 'Zyzzyx Road' (2006) – kutipan sebanyak AS$30 (RM126).
Mungkin anda tidak pernah mendengar tajuk filem ini, mana tidaknya kalau jumlah kutipannya sahaja hanya sebanyak itu? Filem ini hanya dimainkan dalam satu panggung, Highland Park Village Theatre di Dallas sepanjang minggu. Sebaik tayangannya berakhir, kutipan menunjukkan hanya enam orang yang menonton untuk jumlah keseluruhan jualan tiket AS$30 (RM126), menjadikannya filem dengan kutipan terendah sepanjang masa.
2) 'Storage 24' (2013) – kutipan sebanyak AS$72 (RM302).
Pengarah filem, Johannes Roberts gembira dengan hanya sebahagian kecil daripada jualan tiket itu. "Anda harus terima filem itu seadanya. Kami tidak mempunyai wang, namun kami bercita-cita tinggi," kata penulis dan juga bintang filemnya, Noel Clarke, kepada IndieWire.
3) 'Dog Eat Dog' (2009) – kutipan sebanyak AS$80 (RM336)
Selepas memenangi anugerah dan pencalonan di festival filem dan acara industri di seluruh dunia termasuk pencalonan Hadiah Juri Grand Cinema di Sundance. Anda akan berfikir bahawa drama arahan Carlos Moreno yang mengisahkan tentang dunia kejahatan di Columbia ini perlu ditonton meskipun hanya mendapat kutipan sebanyak itu.
4) 'The Objective' (2009) - kutipan sebanyak AS$95 (RM400)
Filem ini hanya ditayangkan selama seminggu di sebuah panggung di New York. Menurut IMDB, anggaran bajet bagi menghasilkan filem yang berdurasi selama 1 jam 30 minit ini adalah sebanyak AS$4 juta (RM16.8 juta).
5) 'The Ghastly Love Of Johnny X' (2012) – kutipan sebanyak AS$117 (RM492)
Filem ini hanya berjaya mencatat kutipan berjumlah AS$117 (RM492) sepanjang minggu yang ditayangkan dalam satu panggung di Kansas City, Kansas pada bulan Oktober 2012. Mungkin kerana ia telah ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Kansas, kurang dari tiga minggu sebelumnya.
6) 'Pretty Village, Pretty Flame' (1998) – kutipan sebanyak AS$211 (RM887)
Filem yang berasal dari Yugoslavia, Pretty Village, Pretty Flame'membuktikan bahawa filem yang ‘meletup’ tidak semestinya diterjemahkan dari benua ke benua. Walaupun mendapat ulasan yang baik daripada pengkritik filem Amerika, filem ini hanya berjaya meraih AS$211 (RM887) ketika ditayangkan di sebuah panggung pada 16 Januari 1998.
Berikut pula adalah enam filem yang hanya menggunakan bajet kecil tetapi mendapat pulangan besar:
1) ‘Paranormal Activity’ – bajet AS$15,000, kutipan sebanyak AS$193 juta (RM811.7 juta)
2) ‘The Blair Witch Project’ (1999) – bajet AS$60,000, kutipan sebanyak AS$248 juta (RM1.04 billion)
3) ‘Mad Max’ (1979) – bajet AS$300,000, kutipan sebanyak AS$99.75 juta (RM419.5 juta)
4) ‘Napoleon Dynamite’ (2004) bajet AS$400,000, kutipan sebanyak AS$46 juta (RM193.4 juta)
5) ‘American Graffiti’ (1973) bajet AS$777,000, kutipan sebanyak AS$140 juta (RM588.7 juta)
6) ‘Rocky’ (1976) bajet AS$995,000, kutipan sebanyak AS$225 juta (RM946.5 juta)
Memang kelihatan seolah-olah rahsia bagi menghasilkan filem bajet rendah dan mendapat pulangan kutipan yang 'meletup' seperti sesuatu yang positif. Satu perkara yang pasti, genre filem seram atau ‘thriller’ nampaknya lebih cenderung untuk mendapat kutipan hebat berbanding mana-mana genre lain dengan perbelanjaan kecil.