Ini sebab kenapa Farid Kamil mahu anak-anak aktif sukan sejak kecil
Gempak
Jun 21, 2024 18:30 MYT
Jun 21, 2024 18:30 MYT
PELAKON Farid Kamil mahu anak-anaknya terdedah dengan aktiviti sukan di usia muda untuk perkembangan minda dan fizikal.
Anak Aktif Sukan
Farid memberitahu anak pertamanya iaitu Mohammad kini aktif bermain bola sepak dan sukan pemotoran manakala puterinya, Nur Aurora didedahkan dengan gimnastik serta tenis.
“Bagi saya, membenarkan anak-anak main sukan di peringkat kecil lagi, pendedahan awal ini… pada saya sangat terbaik. Macam saya sendiri, memang aktif daripada kanak-kanak lagi.
“Saya nak anak-anak saya ini apa saja aktiviti sukan, mereka tak ralat atau tak takut untuk lakukan. Pada saya, dari situ kita dapat lihat perkembangan minda dan fizikal mereka secara positif.
“Macam Mohammad, aktif main bola dan sukan pemotoran, manakala Aurora, sekarang ini kita bagi dia pendedahan gimnastik dan tenis,” kata Farid kepada Gempak.
Sesi Latihan
Dalam pada itu, Farid turut mendedahkan anak sulungnya itu mendapat latihan dalam bermain bola di kelab milik pemain pasukan Korea, Kim Do Hoon.
“Saya lihat ibu bapa terutama di luar negara barat, mereka mendedahkan anak-anak mereka di peringkat yang kecil untuk mencuba sukan-sukan.
“Daripada itu kita boleh tengok mana minat dia. Macam Mohammad pun ada kelas latihan di mana dia belajar di KDH, Kim Do Hoon… pemain world cup di Korea, dia buka kelab di sini,” ujarnya.
Sentiasa Beri Dorongan
Sementara itu, Farid berkata dia dan isterinya, aktres Diana Danielle sentiasa memberi dorongan kepada anak-anak mereka untuk terus aktif dalam sukan.
“Kami tak pernah menghalang anak main sukan sampai ke luar negara. Sebab bagi kami, dia dah puas main dekat Malaysia, kita bagi cuba peringkat antarabangsa lebih awal.
“Supaya minda dia terbuka dan minat untuk serius dalam satu bidang itu kita boleh dorong,” katanya yang bakal muncul dengan filem Gold pada 11 Julai nanti.
*Artikel disiarkan di Gempak