Ini lukisan dari hati saya, untuk beramal - Anzalna
Gempak
Mei 21, 2018 17:01 MYT
Mei 21, 2018 17:01 MYT
PELAKON cantik, Anzalna Nasir berhasrat untuk menjual kesemua lukisan hasil air tangannya kepada pembeli yang berminat.
Setiap wang hasil daripada penjualan karyanya itu akan disalurkan kepada badan kebajikan.
"Setakat ini sudah ada 10 keping lukisan yang saya sendiri hasilkan di rumah. Memang niat saya untuk menjual kesemua lukisan itu dan hasil daripadanya saya akan salurkan kepada badan kebajikan," katanya kepada Astro Gempak.
Anzalna memberitahu lukisan yang dihasilkan bergantung pada mood dan kelapangan waktu.
"Tidak ada tema yang khusus untuk setiap lukisan tetapi setiap satunya saya lukis dari hati.
"Tak sangka, selepas lebih 20 tahun meninggalkan dunia berus dan kanvas lukisan, saya masih boleh melukis," tambahnya.
Matlamat Anzalna untuk menghasilkan lebih banyak lukisan sepanjang bulan Ramadan bagi mengumpul lebih dana dan disalurkan kepada pihak yang memerlukan.
Bagi platform pemasaran, Anzalna meminta bantuan bapanya untuk menjual lukisan-lukisan terbabit selain mempromosikan sendiri di laman sosial.
Dalam perkembangan lain, Anzalna akan memulakan penggambaran drama bersiri selepas perayaan Hari Raya Aidilfitri selain bakal terbang ke Paris, Perancis untuk menghadiri acara sebuah produk kecantikan.
Anzalna juga terbabit dengan bazar Yasss Raya di Quill City Mall, Kuala Lumpur dari 18 Mei hingga 12 Jun.
Teks oleh: Amri Hassan
Foto: @anzalnanasir88
#Aidilfitri
#air
#Anzalna Nasir
#hari raya
#kebajikan
#Kuala Lumpur
#laman sosial
#lukisan
#Paris
#Ramadan
#rumah