KUALA LUMPUR: Video tular seorang individu memperkenalkan diri sebagai 'ustaz' yang berceramah dengan cara dikatakan agak kasar ketika mengagihkan bantuan mengundang kecaman ramai.

Banyak pihak mendakwa ia tidak bersesuaian dengan imej Islam yang dibawanya.

Antara yang meluahkan rasa terkilan adalah penyanyi dan pelakon muda, Naim Daniel.

Menerusi satu kemas kini di Twitter, Naim menulis satu kapsyen pendek namun tegas nadanya, sebagai reaksi terhadap video tersebut.

"Ini, bukan ISLAM," tulisnya.

Caranya mengecewakan banyak pihak yang menyifatkan ia tidak bersesuaian dengan imej Islam yang dibawanya.

Pendapat penyanyi yang popular dengan lagu Purnama itu dipersetujui ramai, dengan rata-rata melihat soalan-soalan individu terbabit berkaitan solat dan ibadah Islam yang lain kepada penerima bantuan, sebagai tidak wajar dan kurang berhemah.

"Ayat dia pun tak kena. Dia rasa diri dia Tuhan ke cakap macam tu?" tulis seorang pengguna Twitter, @mar_diaz12.

Terdapat juga yang menyifatkannya cara individu itu berdakwah sebagai tidak kena tempat, malah turut mengecam tindakannya yang menyebut jumlah bantuan yang diberikan.

"Malu dan marah bila ada yang nak berdakwah tak kena masa dan tempat. Lebih-lebih depan orang kelaparan. Astaghfirullah, janganlah masa nak bagi bantuan ungkit lagi," kata seorang lagi pengguna.

Video berkenaan terdahulu dikongsi oleh personaliti televisyen, Nazrudin Rahman, yang menegur cara individu tersebut memberi bantuan. Ia menerima lebih 17,000 likes dan lebih 23,000 retweet setakat ini.