Ini best! Tony Fernandes sahkan BTS bakal gegarkan KL
Kohilah Sekaran
Disember 16, 2018 20:03 MYT
Disember 16, 2018 20:03 MYT
Berita baik buat semua peminat tegar BTS tanah air!
Ketua Pengarah Eksekutif syarikat penerbangan tambang murah AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes mengesahkan kehadiran kumpulan K-Pop popular, BTS yang juga dikenali sebagai Bangtan Boys bagi melangsungkan konsert sulung mereka di Malaysia dalam masa terdekat.
Perkara itu diumumkan di laman Instagramnya, sebentar tadi.
Dengan memuat naik sekeping gambar bersama seorang kanak-kanak, Tony berkata, “Bersama beg BTS dan peminat tegar pasukan QPR (Queens Park Rangers). Yuna sangat gembira dengan kemenangan QPR. BTS akan datang ke Stadium Malaysia dalam masa terdekat,” tulis Tony.
Susulan itu, peminat Malaysia yang digelar sebagai ARMY Malaysia melahirkan rasa keterujaan mereka di media sosial.
Rata-rata peminat berharap Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia itu akan merealisasikan impian peminat tanah air dalam masa yang terdekat.
Ada yang di antara mereka yang menyeru Tony untuk menjual tiket konsert kepada peminat tanah air dahulu sebelum membuka kepada peminat negara jiran.
Bagaimanapun, ini bukan kali pertama Tony memberi 'hint' berkenaan konsert kumpulan BTS.
Sebelum ini, Tony Fernandes Secara tidak langsung telah mengeluarkan kenyataan rasmi seolah mengesahkan kehadiran BTS ke Malaysia ketika memberi ceramah ilmiah di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Terengganu.
Kumpulan K-Pop yang popular itu akan melawat beberapa negara Asia sebagai sebahagian daripada konsert jelajah dunia 2019 mereka - termasuk Singapura tetapi malangnya, Malaysia masih belum dimasukkan dalam senarai tersebut.
Apa-apapun, kita nantikan pengumuman rasmi yang bakal dibuat oleh pihak Air Asia dan BTS!