'Ini adalah jalan anda dan anda sendiri' - Fazura petik kata-kata penyair Rumi
Hasimi Muhamad
September 13, 2024 14:21 MYT
September 13, 2024 14:21 MYT
KUALA LUMPUR: Ia sesuatu yang berat untuk diungkap dengan kata-kata apabila mahligai yang dibina dengan rasa cinta, mungkin terpaksa 'menemui noktah'.
Ringkasan AI
- Fazura dilapor telah memfailkan perceraian terhadap suaminya, Fattah Amin, di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Shah Alam.
- Fazura memuat naik petikan kata-kata Jalaluddin Rumi di Instagram, dan beberapa selebriti seperti Fasha Sandha dan Uqasha Senrose memberikan kata-kata semangat.
- Isu keretakan rumah tangga Fazura dan Fattah menjadi perbualan hangat di media sosial, walaupun Fattah menafikan adanya masalah.
Rasa itu juga mungkin dipendam oleh aktres dan usahawan terkenal, Fazura atau pemilik nama penuh Nur Fazura Sharifuddin yang dilapor telah memfailkan perceraian terhadap suaminya, Fattah Amin.
Fazura, 41, dalam kemas kini di laman Instagramnya kira-kira sejam lalu dilihat memuat naik petikan kata-kata daripada seorang penyair dan ulama terkenal, Jalaluddin Rumi atau Rumi.
"Ini adalah jalan anda dan anda sendiri.
"Orang lain boleh berjalan dengan anda, tetapi tiada siapa yang boleh berjalan untuk anda," tulis Fazura memetik kata-kata sufi terkenal itu.
Sementara itu, beberapa pelakon dan selebriti terkenal tanah air termasuk Fasha Sandha dan Uqasha Senrose dilihat menitipkan kata-kata semangat buat pelakon jelita itu.
"Semoga Allah permudahkan segalanya untuk insan baik ini," tulis Fasha di ruangan komen Instagram Fazura.
Wakil peguam penyanyi lagu Sayangi Dirimu itu hari ini dilapor telah memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Shah Alam terhadap Fattah, yang akan meraikan ulang tahun kelahiran ke-34 pada 14 September.
Ia selepas isu keretakan rumah tangga Fazura, dan Fattah menjadi perbualan hangat media sosial sejak kebelakangan ini apabila pasangan itu didakwa tidak lagi meninggalkan komen atau tanda suka dalam hantaran di akaun masing-masing.
Astro AWANI masih cuba mendapatkan pengesahan berhubung perkara ini.