Ini 20 nasihat untuk panduan industri muzik tempatan daripada Sheila Majid
Muzaffar Mustapa
Disember 19, 2016 18:15 MYT
Disember 19, 2016 18:15 MYT
UCAPAN penerima Anugerah Sri Wirama, Datuk Sheila Majid boleh dianggap sebagai nasihat dan panduan daripada seorang kakak kepada adik-adiknya.
Selain menegur pembangunan negara yang lebih mengutamakan pembinaan pusat membeli-belah, Sheila mengharapkan agar pembangunan pusat-pusat seni turut diperbanyakkan lagi.
Sheila juga sempat mengingatkan peminat seni tempatan agar kembali membeli kerja seni artis tempatan dan tidak memuat turun secara haram.
Dalam ucapan yang berdurasi lebih 10 minit itu, Sheila turut mengucapkan penghargaannya kepada semua yang terlibat di belakang kerjayanya sepanjang 32 tahun lalu.
Terdapat 20 perkara utama yang boleh dijadikan panduan untuk pemain industri muzik tempatan, namun satu perkara tertinggal yang lebih dibicarakan oleh orang ramai di media sosial.
Ini 20 perkara penting untuk industri muzik tempatan kembali menyerlah bukan sahaja di tanah air sendiri malah di peringkat antarabangsa.
1. Menjejakkan kaki sebagai anak seni di Malaysia tidaklah semudah yang disangkakan, tidaklah seglamor yang diwar-warkan kerana industri seni di sini tidak besar dan bukanlah seperti di Hollywood.
2. Menjadi terkenal adalah terlalu mudah hari ini, tetapi untuk terus bertahan dalam industri ini itulah cabarannya. Cabaran yang harus dilalui dalam bidang seni ini banyak.
3. Seseorang anak seni itu perlu mempunyai daya ketahanan mental yang kuat, minat yang mendalam, disiplin diri, komitmen dan usaha yang bersungguh-sungguh, sikap yang baik serta niat yang betul.
4. Muzik itu bukanlah jahat. Ia terpulang kepada cara seseorang artis itu membawanya.
5. Bila sudah terkenal, kita akan terdedah kepada sebarang komen apabila terlalu banyak mata memandang. Anak seni akan sentiasa dijadikan contoh dalam setiap aspek kehidupan.
6. Dunia muzik juga akan mendedahkan kepada kita semua mengenai perkara-perkara yang gelap. Anak seni harus memilih dan terpulang kepada mereka untuk memandu jalan kerjaya mereka sendiri. Jangan terlalu hanyut. Pilihan di tangan sendiri.
7. Jagalah peribadi anda dan jagalah mutu kerja anda.
8. Jika kita melaksanakan kerja kita dengan penuh ikhlas, jujur, amanah dan beretika, rezeki akan datang kepada kita untuk menjamin masa depan kita dan turut menyumbang kepada ekonomi negara.
9. Muzik itu adalah seni, ia bukan hiburan semata-mata.
10. Dari muzik kita dapat mengenal asal-usul dan sejarah budaya bangsa.
11. Dunia tidak mungkin tanpa muzik. Semuanya guna muzik.
12. Muzik mampu untuk jadi pembakar semangat, melembutkan hati dan mengundang keinsafan.
13. Muzik menyatukan semua tanpa mengira bangsa dan peringkat umur.
14. Sudah sampai masanya untuk anak seni mengetahui tentang hak-hak mereka sebagai anak seni supaya tidak mudah dipermainkan dan dipergunakan oleh sesiapa.
15. Apabila seni telah dipilih sebagai periuk nasi, anak seni harus berjuang dan mempertahankan bidang ini agar ia menjadi satu industri yang dihormati.
16. Hormati kerja kita sebagai anak seni dan hormatilah mereka yang bekerja dengan kita.
17. Untuk peminat muzik tanah air, sokonglah industri muzik tempatan dengan membeli tiket konsert artis tempatan dan membeli karya asli artis pujaan anda.
18. Jangan muat turun karya artis tempatan secara percuma.
19. Jika boleh beli barangan dan konsert artis antarabangsa, lakukan juga untuk karya seni artis tempatan.
20. Perbanyakan lagi membangunkan lokasi-lokasi untuk persembahan artis tempatan yang secara tidak langsung akan mengasah dan membangunkan bakat-bakat seni sedia ada. Kita tidak perlukan banyak lagi pusat membeli-belah.
Anugerah Industri Muzik ke 22 berlangsung di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra malam tadi.