Ingkar notis temu siasat, JPJ minta bantuan polis cari suami Fatin Afeefa, Opai
Gempak
Julai 3, 2023 12:11 MYT
Julai 3, 2023 12:11 MYT
JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesahkan suami pelakon Fatin Afeefa yang dikenali sebagai Opai sehingga belum hadir ke Pejabat JPJ untuk dirakam keterangan selepas notis panggilan temu siasat diserahkan.
Ia susulan penggunaan nombor pendaftaran 'QPA1' yang bukan didaftarkan atas kereta McLaren miliknya.
Justeru Timbalan Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Erick Jusiang berkata kepada Harian Metro, dia akan meminta bantuan polis bagi mengesan Opai atau nama sebenarnya Aliff Awang bagi membantu siasatan.
"Kita sudah menyerahkan notis itu ke alamat rumahnya namun selepas 14 hari dia tidak datang.
"Jadi kita meminta bantuan polis kerana mereka ada kuasa untuk mengeluarkan waran dan mengesannya di rumah," katanya.
Beliau percaya Opai masih berada di ibu negara dan menganggap tindakan mengabaikan notis temu siasat itu sebagai mencabar JPJ.
Terdahulu, suami kepada seorang pelakon wanita dikecam teruk selepas tular videonya didakwa menghina kenderaan bukan 'super car' pada sebuah acara pertunjukan kereta, baru-baru ini.
Menurut laporan sebelum ini, JPJ Kuala Lumpur menggesa pemilik kenderaan mewah McLaren yang tular minggu lalu tampil membuat laporan.
Susulan itu, lelaki terbabit memuat naik satu klip video menafikan dakwaan dia dipanggil pihak berkuasa berhubung kejadian tular itu. - Gempak memetik Harian Metro