"Industri muzik sihat, artis Malaysia dah macam level BLACKPINK" - Noh Salleh
Asyraf Roslan
Mac 16, 2023 15:51 MYT
Mac 16, 2023 15:51 MYT
KUALA LUMPUR: Meskipun bukan hujung minggu namun kehadiran penonton di Konsert Patah Hati yang diadakan pada Rabu boleh disifatkan sebagai amat menggalakkan.
Perkara itu sedikit sebanyak memberikan keterujaan dan kegembiraan kepada barisan penyanyi yang membuat persembahan pada malam itu antaranya adalah Noh Salleh.
Bagi Noh, sokongan yang ditunjukkan oleh peminat-peminat yang hadir membuktikan bahawa industri muzik Malaysia masih sihat.
"Bukan senang nak buat konsert ini, macam-macam persiapan kena buat dari nak lock tempat, pemilihan barisan artis dan hal teknikal itu memakan masa.
"Tetapi melihat kehadiran peminat semua malam ini, sold out pula tu pada hari Rabu, ini membuktikan industri muzik Malaysia ini masih sihat, dah macam level BLACKPINK walaupun hari ini bukan hujung minggu," katanya ketika ditemui Astro AWANI selepas konsert berakhir.
Difahamkan seramai 2,400 orang penonton yang datang ke Konsert Patah Hati yang diadakan di Zepp, ibu negara.
Noh turut meyampaikan lagu-lagu hit bersama kumpulan Hujan antaranya Angin Kencang, Bila Aku Sudah Tiada, Sang Penikam dan Aku Skandal.
Pada masa yang sama penyanyi Ernie Zakri dan Aisha Retno turut melahirkan rasa gembira dengan sambutan yang diberikan oleh peminat yang hadir untuk konsert Patah Hati tersebut.
Bagi Ernie sendiri, kehadiran peminat yang memenuhi konsert tersebut sangat menakjubkan dan menjadi satu bukti artis Malaysia mampu melakukannya tanpa perlu membandingkan dengan artis luar negara.
“Sekarang penyokong-penyokong kita sangat bijak, mereka boleh menilai, kalau mereka suka pada seseorang artis itu mereka akan cakap apa sahaja, saya sebagai seorang artis yang bertapak di Malaysia, masih lagi bergelut untuk memenangi hati peminat.
“Bagi saya nak bandingkan kami dengan artis luar negara ini tidak adil kerana mereka mempunyai pendedahan yang lebih besar di luar sana, tapi di Malaysia ini kita ada banyak bakat yang sangat menakjubkan dan malam ini menjadi saksi segalanya,” kata Ernie.
Pada masa sama, pelantun lagu Jarak, Aisha Retno menyatakan bahawa industri muzik Malaysia ini semakin berkembang dan mampu menarik ramai peminat untuk hadir ke konsert-konsert yang diadakan.
“Sebenarnya masih ada peminat yang menyokong industri muzik Malaysia, tetapi siapalah kita jika nak dibandingkan dengan artis luar negara, tapi kita kena ingat industri muzik Malaysia juga sedang berkembang, dan ia terbukti apabila setiap kali konsert diadakan tidak kira genre penyanyi itu, peminat tetap membeli tiket untuk menyaksikan persembahan penyanyi tanah air,” kata Aisha.
Selain Noh, Ernie dan Aisha, konsert Patah Hati turut dimeriahkan dengan persembahan Imsoniacks, Nastia dan Naim Daniel.