'Industri muzik Malaysia mungkin berkubur' - Sheila Majid
Astro Awani
Jun 21, 2015 08:23 MYT
Jun 21, 2015 08:23 MYT
Khalayak di Malaysia tidak meletakkan penghormatan yang sewajarnya kepada seni muzik dan penggiatnya sekali gus dikhuatiri akan menoktahkan hayat industri tersebut di negara ini.
‘Firasat’ dan kebimbangan itu dizahirkan oleh penyanyi legenda negara Datuk Sheila Majid ketika dihubungi Astro AWANI pada Sabtu.
Dalam menyambut ulang tahun ke-30 penglibatan beliau dalam dunia seni suara tempatan dan antarabangsa, Sheila turut menyelitkan kisah 'sedih' yang berlaku di dalam dunia seni muzik negara.
“Khalayak perlu tahu betapa pentingnya untuk memanjangkan hayat seseorang artis. Kita tidak boleh kata kita suka pada seseorang artis itu tetapi masih memuat turun hasil karyanya secara percuma dan meminta pertunjukan percuma.
“Bagaimana hendak lihat golongan artis itu meneruskan kerjaya? Bukankah itu mata pencarian mereka?” luah Sheila.
Menurut beliau, khalayak sentiasa mengharapkan seseorang artis menghasilkan karya terbaik tetapi mereka tidak mahu membayar harganya. Perkara tersebut, katanya, membuatkan golongan penggiat seni hilang pulangan pelaburan mereka.
Tambahnya, sekadar menyukai seseorang artis tidak membantu menjana pendapatan dan akibatnya ramai artis dan penggiat seni berputus asa.
“Sememangnya muzik di Malaysia tidak mendapat penghormatan yang sewajarnya. Suatu hari nanti, industri muzik Malaysia akan mati,” kata Sheila.
WADAH KEHIDUPAN
Sheila mengajak orang ramai berfikir, apakah perkara yang lazim dilakukan dalam kehidupan seharian, ketika bangun daripada tidur dan sedang bersiap memulakan aktiviti harian, bukankah kita membuka radio atau televisyen?
Dalam banyak aspek kehidupan, kita mengharapkan muzik dan kesannya. Maka bayangkan kehidupan yang tiada bunyi-bunyian dan melodi, semuanya akan menjadi bosan.
Menurut Sheila, muzik adalah lebih daripada sekadar wadah hiburan malah bertindak menyentuh deria, membina karakter dan mengajar manusia supaya lebih memahami soal emosi keinsanan.
“Itu yang kita kurang. Di negara ini, bila bercakap tentang hiburan, orang hanya memikirkan tentang lawak slapstik. Muzik semakin dipandang sepi malah di sekolah pun ia tidak lagi diajar.
“Kita perlukan sokongan kerajaan dan juga orang ramai untuk menghidupkan industri ini. Dunia hiburan negara bukan sekadar slapstik dan gosip,” tegas Sheila.
Dalam pada berharap kesedaran itu mengubah suasana di negara ini, Sheila mengakui cemburu dengan kerancakan industri seni muzik di negara jiran khususnya Indonesia serta pengaruh kuat gerakan K-Pop yang mendapat sokongan teguh pemerintah Korea.
"Anda fikir K-Pop itu baharu? Ia sudahpun dirancang sejak sekian lama. Pemerintah Korea membelanjakan berbilion dolar untuk meningkatkan taraf industri seni mereka, termasuk memberi pendidikan tentang seni dan muzik kepada kanak-kanak sekolah.
"Mereka juga mengajar penggiat seninya mendalami kursus bahasa Inggeris. Lihat saja hasil pertama mereka iaitu penyanyi Rain," jelas Sheila.
KUASA BERTAHAN
Berkongsi mengenai kemampuan beliau untuk terus berada di persada muzik tanah air, Sheila berkata bahawa semua itu memerlukan kesabaran dan daya tahan yang tinggi.
“Saya tiada resipi khusus untuk bertahan lama. Anda harus menyukai apa yang anda lakukan. Lebih daripada itu, peminat sejati juga faktor yang memberi motivasi dalam kerjaya kerana merekalah yang akan menyokong kerja anda,” ujar Sheila.
Menurutnya, dalam senario semasa yang kekurangan pihak penaja yang menyokong bakat-bakat tempatan, penggiat seni sepertinya hanya berbekalkan azam dan kecintaan yang kuat dalam bidang yang diceburi.
“Itulah yang membuatkan seseorang artis terus ada dalam industri. Mereka terus ada kerana minat, komitmen dan disiplin.
“Ini pastinya bukan sebuah kehidupan yang penuh glamor. Jika anda mengharapkan itu, anda akan kecewa,” kata Sheila.