Industri fesyen kritik pemilihan Brooklyn Beckham selaku jurufoto kempen Burberry
Kohilah Sekaran
Februari 3, 2016 16:23 MYT
Februari 3, 2016 16:23 MYT
Anak kepada bintang bola sepak David Beckham, Brooklyn Beckham baru-baru ini diumumkan sebagai jurugambar rasmi bagi kempen minyak wangi jenama Burberry Brit.
Sesi fotografi itu disiarkan secara langsung di media sosial (Instagram dan Snapchat) pada Sabtu lalu.
Berusia 16 tahun, Brookyn sebelum ini pernah mendedahkan minatnya dalam bidang fotografi.
Walau bagaimanapun, menurut laporan portal The Guardian, banyak jurugambar dalam industri fesyen menyatakan rasa ketidakpuasaan hati berhubung perkara ini.
Mereka mengecam pemilihan Brooklyn dengan menyifatkan ia sebagai satu amalan nepotisme.
Menurut portal HYPEBEAST, seorang jurugambar, Chris Floyd berkata penggambaran Brooklyn menunjukkan penurunan nilai dalam bidang fotografi."
“David Beckham dan Victoria berkerja keras untuk memiliki apa yang mereka kini dimiliki. Mereka menunjukkan kegigihan tetapi anak mereka hanya menunjukkan pengaruh kuasa dan nama (nepotisme)," kata Floyd.
Bagaimanapun, ada yang berpendapat Brooklyn adalah pilihan yang yang bijak bagi jenama tersebut, terutamanya dalam menarik golongan yang lebih muda.
Pengarah Kreatif Burberry dan Ketua Pegawai Eksekutif Christopher Bailey pula berkata Brooklyn mempunyai bakat yang lebat dan Instagram merupakan platform yang baik untuk dia mempamerkan kerjanya.