IMS2022: Angkat genre muzik 1960-an, himpunkan 23 tokoh akademik, penggiat seni dari tiga negara

Amirrul Rabbani
September 8, 2022 19:45 MYT
Sidang media IMS2022 Pop 1960-an: Emulasi, Revolusi dan Legasi di Bangunan PORT di sini pada Khamis. - Foto Astro AWANI
IPOH: Selepas dianjurkan secara maya ekoran pandemik COVID-19 tahun lalu, Simposium Muzik Ipoh (IMS) tahun ini kembali diadakan secara fizikal dengan mengangkat tema ‘Pop 1960-an: Emulasi, Revolusi dan Legasi’.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata IMS yang memasuki edisi keempat itu akan menghimpunkan 23 tokoh akademik dan penggiat seni dari tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura.
Katanya mereka terdiri antaranya Dr Raja Iskandar Raja Halid; Dr Isabella Pek, Dr Adil Johan, Mohd. Rafi Jafranee, Azlan Mohd Said, Michael HB Raditya, serta Viela Wiradz.
Ujar Nolee Ashilin program berkenaan akan berlangsung selama tiga hari bermula 21 Oktober yang mana ucaptama simposium oleh maestro muzik tanah air, Datuk Johari Salleh akan diadaan pada 22 Oktober.
“Penganjuran IMS2022 yang disasarkan 5,000 penyertaan orang ramai itu akan diisi dengan pelbagai program seperti sesi forum dan bengkel, pameran, promosi buku serta konsert.
“Untuk bengkel, terdapat tiga sesi yang akan berlangsung pada 21 Oktober dan akan menampilkan individu seperti Profesor Madya Dr Mohd Azam atau Azam Dungun; Edrie Hashim serta Zahid Ahmad.
“Keistimewaan IMS kali ini adalah akan diadakan festival ‘Pesta Mini 1960-an’ di perkarangan People Of Remarkable Talents (PORT) yang mana antara pengisiannya adalah pameran motosikal klasik dan vespa, rerurai jualan, peragaan pakaian serta persembahan muzik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media IMS2022 ‘Pop 1960-an: Emulasi, Revolusi dan Legasi’ di Bangunan PORT di sini pada Khamis.
Hadir sama, Pengurus Besar Port, Nur Hanim Khairuddin serta Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa.
Penganjuran IMS2022 disokong Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara, juga dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian (JKKN) Perak serta Tourism Perak.
Sementara itu, Nur Hamin berkata pemilihan genre muzik pop 1960-an untuk IMS kali ini juga adalah antara hasil perbincangan dengan tokoh akademik yang juga pensyarah kanan dari Universiti Malaysia Kelantan, Raja Iskandar.
“Pemilihan genre berkenaan adalah hasil kajian dan perbincangan dengan Raja Iskandar yang mana kita mendapati genre muzik ini mempunyai pengaruh besar bukan sahaja di Malaysia malah negara-negara jiran.
“Selain itu, kita juga melihat trend anak muda masa kini juga yang makin meminati genre-genre muzik pop 1960-an. Saya rasa ini adalah masa sesuai untuk kita mengetengahkan genre itu pada simposium kali ini,” katanya.
Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang IMS2022 boleh melayari laman sesawang dan mengikuti saluran media sosial PORTIPOH.
#Simposium Muzik Ipoh #penggiat seni #Tokoh Akademik #IMS2022
;