Impian Siti Nurhaliza jumpa AR Rahman jadi kenyataan
Bernama
Mei 16, 2016 07:35 MYT
Mei 16, 2016 07:35 MYT
IMPIAN Datuk Siti Nurhaliza Tarudin untuk berjumpa dengan komposer muzik tersohor India, A.R Rahman menjadi kenyataan apabila legenda muzik itu melawat penyanyi nombor satu negara itu di kediamannya di sini pada Isnin.
Siti Nurhaliza, 36, memuat naik beberapa keping gambar yang diambil bersama pemenang Oscar dan komposer 'Jai Ho' untuk filem 'Slumdog Millionaire' itu, di laman Facebook dan Instagramnya.
"Masya Allah...nak pengsan...idola muzik saya sudi datang ke rumah. A.R Rahman. My dream came true (Impian saya jadi kenyataan)... Thank You Allah SWT (Terima kasih Allah SWT)," katanya dalam kedua-dua laman sosial itu.
Rahman berada di Malaysia berikutan konsertnya yang berlangsung di Stadium Merdeka pada Sabtu lepas.
Dilaporkan, dalam konsert yang diadakan kali kedua di Malaysia itu, maestro muzik itu telah menghiburkan 20,000 penonton dengan mempersembahkan lagu gubahannya yang terkenal sejak 1990-an hingga hit terkini yang didedikasikan untuk pemain bola sepak lagenda dari Brazil, 'Pele: Birth of a Legend'.
Siti Nurhaliza turut memberi sedikit bayangan mengenai perancangannya bersama komposer itu dalam dunia muzik pada masa hadapan sambil meminta para peminat untuk mendoakannya.
"Music legend (Lagenda muzik). Insya-Allah, akan ada perancangan seterusnya nanti, doakan ya," katanya.
Penyanyi terkenal tanah air itu pernah merakamkan dan mempersembahkan lagu ciptaan Rahman berjudul 'Nenje Ezhu' untuk program International Superstar 2015 terbitan Astro, pada Ogos tahun lepas.
Rahman, 49, merupakan seorang ikon muzik yang bukan sahaja terkenal di India tetapi di seluruh dunia dan pernah merangkul beberapa anugerah antarabangsa termasuk Oscar, Grammy, Golden Globe dan British Academy of Film and Television Arts (BAFTA).