Impian Nina, Zarif ke final #AF2014 ranap
Gempak
Oktober 27, 2014 12:09 MYT
Oktober 27, 2014 12:09 MYT
Impian dua pelajar #AF2014 Nina dan Zarif musnah apabila nama mereka diumumkan sebagai peserta tersingkir di konsert suku akhir yang berlangsung pada malam Ahad.
Nina Nadira Naharuddin atau Nina dan Muhd Zharif Mohd Kamil atau Zarif menjadi mangsa penyingkiran setelah mendapat undian terendah.
Nina telah menyampaikan lagu ‘Rescue’ nyanyian asal oleh Yuna manakala Zarif pula mendendangkan lagu ‘Romancinta’ nyanyian asal oleh Mojo sama sekali gagal memikat hati penonton.
Dengan bertemakan pilihan media, lima pelajar lain iaitu Ewal yang menyampaikan lagu ‘Mahakarya Cinta’ (Faizal Tahir), Nuha ‘Kisah Dongeng’ (Stacy), Aman ‘Kasih Latifah’ (Spider), Firman ‘She’s Gone’ (Steel Heart) dan Azwan ‘Cinta Nusantara’ (Sheqal) turut memberikan persembahan terbaik.
Selain itu, konsert suku akhir #AF2014 ini turut dimeriahkan dengan persembahan pembukaan oleh Aweera, Aliff Satar dan Nomad.
Istimewanya minggu ini, para pelajar mempunyai dua pusingan nyanyian iaitu persembahan secara solo dan juga duet.
Pasangan duet yang dimaksudkan ialah Nuha dan Firman (Ceritera Cinta- Jaclyn Victor & Rio Febrian), Aman dan Nina (Ku merindu – Ella & Shah) serta pasangan trio #AF2014 Azwan, Zarif dan Ewal (Satu – Tan Sri SM Salim & Zainal Abidin.
Sempena minggu pilihan lagu oleh pihak media, Editor Hiburan Rap Harian Metro Roslen Fadzil menjadi juri jemputan manakala Dato’ Ramli MS dan Raja Azura selaku juri tetap.
Dengan penyingkiran Nina dan Zarif itu, kini tinggal lima lagi bintang #AF2014 yang akan meneruskan perjuangan mereka sehingga bergelar juara.