Impian Aina Abdul anjur konsert jelajah pertama hampir terlaksana

Bernama
September 11, 2024 11:40 MYT
Aina Abdul ketika sidang media di Imperial Lexis Kuala Lumpur baru-baru ini. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Sekalipun berdepan pelbagai cabaran, penyanyi dan komposer popular Aina Abdul nekad menjayakan konsert jelajah pertamanya, Aina Abdul Imaji Tour di tiga lokasi terpilih mulai Disember depan.
Bagi Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, 31, segala cabaran yang dihadapi sehingga membuatkan beliau pernah hampir berputus asa, tidak sesekali mematahkan semangatnya untuk menggapai impian beliau itu.
"Saya tidak sangka akan 'breakdown' begini... apabila sudah bertahun dalam industri, saya perasan dan belajar bahawa bukan mudah untuk membuat konsert di Malaysia, tetapi saya suka membuat persembahan. Jadi, saya beritahu pasukan saya, walau apapun yang terjadi, Aina Abdul Entertaiment tetap kekal di sini untuk menjayakan apa (konsert) yang telah dirancang," katanya dalam nada sebak, pada sidang media konsert jelajah itu, di sini baru-baru ini.
"(Konsert jelajah) ini juga adalah impian saya kerana saya membesar dengan melihat idola-idola saya mengeluarkan album dan membuat persembahan atau konsert mereka sendiri. Jadi, saya juga mahu buat perkara sama demi kepuasan sendiri," tambahnya lagi.
Jelasnya, konsert jelajah yang diuruskan oleh Altus Prohouse itu juga merupakan sebahagian daripada usahanya memperkenalkan dan mengukuhkan lagi kedudukan album sulungnya, Imaji, yang dilancarkan pada Oktober 2023.
"Ini bukanlah sekadar persembahan pentas, tetapi juga usaha saya untuk meneroka dan mendekati peminat dari pelbagai golongan dan lokasi. Saya berharap konsert jelajah ini dapat memperluaskan lagi jangkauan muzik kepada pelbagai lapisan masyarakat dan tidak hanya tertumpu di Lembah Klang.
"Ini juga peluang untuk saya berinteraksi lebih dekat dengan peminat dari luar bandar dan pelbagai latar belakang, termasuklah golongan mahasiswa, dengan membawa lagu-lagu daripada album Imaji," katanya.
Demi menjayakan konsert tersebut di setiap lokasi, pemenang vokal terbaik Anugerah Juara Lagu ke-36 ini sanggup mengeluarkan dana sendiri bagi memastikan peminat dapat menikmati persembahan yang terbaik daripada beliau.
"Kali ini kita ada strategi. Pengalaman membuat konsert sebelum ini mengajar saya ada perkara boleh dilaksanakan dengan kos rendah. Saya juga ada penasihat yang baik, iaitu abang saya dan boleh menjaga kewangan," jelasnya.
Bagaimanapun penyanyi yang dibesarkan di Seremban, Negeri Sembilan ini tidak akan menolak jika ada pihak yang mahu memberi tajaan bagi menjayakan jelajah berkenaan.
Konsert jelajah Aina Abdul Imaji Tour anjuran Aina Abdul Entertainment akan berlangsung di tiga lokasi berbeza, iaitu Arena Gemilang, DeTAR PUTRA di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) pada 14 Dis; Zepp Kuala Lumpur (27 Dis) dan Dewan Mu'adzam Shah, Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah (11 Jan 2025).
Tiket bagi persembahan di UUM dan Unimas dijual pada harga RM100 hingga RM180, manakala tiket konsert di Zepp Kuala Lumpur berharga RM288 hingga RM6,666. Turut tersedia tiket untuk Orang Kurang Upaya pada harga RM268. Tiket boleh didapati dalam talian di www.ticket2u.com.my bermula semalam.
-- BERNAMA
#Aina Abdul #konsert #Aina Abdul Imaji Tour #konsert jelajah
;