Iman Troye gembira lagu Pejam Celik Hari Raya curi tumpuan pendengar

Asyraf Roslan
Mei 16, 2021 17:24 MYT
Tidak sampai sebulan lagu itu diperdengarkan kepada peminat, lagu yang dicipta oleh Ezra Kong itu sudah mendapat tontonan hampir 7 juta di laman sosial YouTube. - Foto Instagram
KUALA LUMPUR: Selepas lagu Teman berjaya mencipta fenomena, penyanyi Iman Troye hadir dengan bingkisan sebuah lagu raya berjudul Pejam Celik Hari Raya sempena Syawal tahun ini.
Lebih menggambirakannya apabila belum sampai sebulan diperdengarkan kepada peminat, lagu ciptaan Ezra Kong itu sudah mendapat hampir 7 juta tontonan di laman sosial YouTube.
Iman Troye atau nama sebenarnya, Siti Nur Iman Alyssa Sahabudin menyatakan bahawa dia sangat gembira dengan sokongan yang diberikan oleh peminatnya itu.
“Kalau ikutkan kami keluarkan lagu raya ini buat peminat sementara mereka menantikan lagu baharu saya, tetapi saya tidak sangka ia mendapat sambutan hangat dari pendengar.
“Saya sangat gembira dengan sokongan yang diberikan, lebih-lebih lagi bila pergi mana-mana dengar mereka pasang lagu Pejam Celik Hari Raya, buat saya lebih gembira sebab ramai yang menerima lagu ini,” katanya kepada Astro AWANI.
Menyentuh mengenai persiapan raya, Iman mengakui dia sangat teruja menyambut hari kemenangan umat Islam itu pada tahun ini.
“Walaupun tahun ini kita sambut dalam tempoh PKP tetapi Iman tetap gembira hendak sambut Hari Raya, sebab raya tetap raya.
“Lagi pun ini pengalaman pertama Iman beraya sebagai seorang penyanyi, jadi sudah tentu perasaan teruja itu ada,” tambahnya.
Iman juga berkongsi dimana dia bakal melancarkan lagu single keduanya tidak lama lagi.
Saksikan temu bual bersama Iman Troye dalam Gala Aidilfitri.
#Iman Troye #Pejam Celik Hari Raya #teman #Aidilfitri #hari raya #PKP
;