Ijab kabul ringkas Sabri, Angeline sah - Mufti Perlis

Sinar Harian
Oktober 16, 2023 23:30 MYT
Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Mohd Asri Zainul Abidin menjelaskan lafaz kabul ringkas oleh pelakon veteran, Sabri Yunus merupakan bukti bahawa Islam itu mudah dan sah di sisi Islam. - Sinar Harian
MUFTI Perlis, Profesor Madya Datuk Mohd Asri Zainul Abidin menjelaskan lafaz kabul ringkas oleh pelakon veteran, Sabri Yunus merupakan bukti bahawa Islam itu mudah dan sah di sisi Islam.
Mohd Asri atau lebih dikenali sebagai Dr MAZA berkata, pernikahan bukan satu perkara yang patut disulitkan dengan syarat yang ketat sedangkan ijab dan kabul pada zaman Nabi Muhammad SAW begitu ringkas.
“Sesiapa yang membaca hadis-hadis nabi, dia akan mengetahui bahawa akad nikah memang mudah. Yang penting cukup rukun dan adanya ijab dan kabul.
“Ijab dan kabul bermaksud adanya kita berikan tawaran perkahwinan dan satu pihak lagi menyambut tawaran perkahwinan itu. Tidak ada dalam agama ini kata perlu satu nafas,” katanya menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di laman sosial, Facebook pada Ahad.
Baru-baru ini, pernikahan antara Sabri dan Angeline Tan menjadi bahan bualan sehinggakan seorang ulama, Sheikh Nuruddin Marbu Al Banjari mendakwa pasangan yang dinikahkan oleh Mohd Asri tidak memenuhi ucapan ijab dan kabul sepatutnya.
Mengulas lanjut, Mohd Asri berkata, kebanyakan jurunikah ketika ini dilihat seperti mahu mendenda pasangan yang hendak melangsungkan perkahwinan.
“Pernikahan bukan satu permainan, lafaz itu telah sah dan mengapa perlu diulang? Mudah-mudahan ini menjadi contoh kepada masyarakat.
“Saya ingin mengingatkan kepada kesemua jurunikah khususnya di Perlis untuk tidak merumitkan hal seperti ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut memberitahu bahawa Angeline Tan terbuka hati untuk memeluk Islam setelah mengikuti ceramahnya di media sosial.
Jelasnya, ia hanya sekadar asbab dan mungkin pendekatan di Perlis menggunakan kaedah memahami latar logik dan hujah adalah berdasarkan bukti menarik minat bukan Islam.
“Agama berdasarkan bukti, hujah dan alasan. Itulah pendekatan yang dibawa dalam ceramah malah kita melepas diri daripada elemen mencurigakan, khurafat dan kepercayaan melampau kepada golongan agama yang tidak mempunyai bukti benar daripada al-Quran dan al-Sunnah,” katanya.
- Sinar Harian
#ijab kabul ringkas #pernikahan #sabri yunus #Angeline Tan #Dr Maza #Mohd Asri Zainul Abidin #Mufti Perlis
;