Ifan Seventeen mohon ruang ubati kesedihan

Astro Awani
Disember 26, 2018 16:44 MYT
WAJAH sugul Ifan pada pengebumian isterinya, Dylan Sahara di Ponorogo, Jawa Timur, Indonesia pada Selasa.
KEHILANGAN isteri tercinta dan tiga rakan karib serentak dalam bencana alam tsunami di Selat Sunda bukan perkara mudah untuk dilalui vokalis utama Seventeen, Ifan.
Pemergian Dylan Sahara membawa seluruh kecintaan yang menyatukan kehidupan mereka sebagai suami isteri sementara kehilangan sahabat-sahabat band Bani (pemain bass), Herman (pemain gitar) dan Andi (pemain drum) pula meroboh dinding kekuatannya untuk kembali bangkit sebagai anak seni.
Hakikatnya, Ifan atau nama sebenarnya, Riefian Fajarsyah kehilangan kata-kata. Tiada ungkapan lagi yang dapat menggambarkan kesedihan.
Ketika ini, Ifan memohon ruang untuk memberi perhatian pada dirinya sendiri kerana kehilangan orang tersayang secara serentak benar-benar mengejutkannya.
BACA: 'Yuk kita pulang Dylan Sahara' - Luluh hati vokalis Seventeen sahkan isteri turut terkorban
Lalu, pada masa ini, Ifan telah membuat keputusan membatalkan semua komitmen pertunjukan pentas seperti yang dipersetujuinya sebelum ini.
Menurut wakil pengurusan Seventeen, Yulia Dian, Ifan tidak memiliki kekuatan untuk muncul sendirian di pentas.
"Kami berusaha menyelesaikan kontrak yang sudah dipersetujui dalam waktu dekat ini. Ada juga jadual peribadi Ifan yang lain, namun Ifan sendiri memaklumka dia belum mampu tampil sendiri," jelas Yulia seperti dilaporkan portal detik.com.
Mengenai masa depan Seventeen selepas kehilangan tiga anggota pula, Yulis berkata, pihak pengurusan masih belum memikirkan tentang perkara itu lagi.
"Sehingga ke saat ini, kami tiada sebarang kenyataan untuk diberikan. Mohon diberikan ruang untuk menghormati Ifan. Kita tunggu sahaja nanti perkembangan seterusnya," katanya lagi.
Berita pilu tiga anggota kumpulan Seventeen yang menjadi mangsa tsunami yang melanda Anyer, Banten di Indonesia pada Sabtu lalu mendapat liputan meluas.
Kehilangan itu meninggalkan kesan yang sangat mendalam buat Ifan kerana dia satu-satunya anggota Seventeen yang terselamat dalam bencana alam itu.
Ketika kejadian berlaku, band Seventeen sedang menghiburkan peminat-peminat mereka dalam satu pertunjukan pentas di persisiran pantai Banten dan Lampung.
#Andi #band #Bani #Dylan Sahara #Herman #Ifan #Indonesia #kematian #meninggal dunia #Selat Sunda #SEVENTEEN #Tsunami Banten
;