Ida Nerina & rakan arah filem untuk Ikal Mayang
Muzaffar Mustapa
Februari 19, 2013 11:02 MYT
Februari 19, 2013 11:02 MYT
Sempena Hari Wanita Antarabangsa 2013, WOMEN:girls bakal mengetengahkan cerita-cerita wanita yang disampaikan menerusi siri filem pendek. Projek istimewa yang diberi nama Ikal Mayang itu menampilkan 15 buah filem pendek yang diarahkan oleh pengarah wanita yang tidak kurang hebatnya.
Menurut Ida Nerina selaku koordinator projek tersebut, pemilihan pengarah dilakukan secara rawak dan dinilai berdasarkan kredibiliti kerja terdahulu setiap mereka yang terlibat.
“Paling utama kami mahu menyampaikan suara wanita dengan menampilkan cerita-cerita mengenai wanita di skrin televisyen agar lebih ramai khalayak penonton yang akan maklum dan sedar akan pilihan, harapan dan impian mereka,” jelas Ida yang cukup dikenali menerusi filem seperti Layar Lara dan Sepet.
Tambahnya lagi, setiap cerita yang dipersembahkan oleh setiap pengarah itu ada isinya yang tersendiri.
“Menerusi cerita tersebut, program susulan baik dari aspek aktiviti kemasyarakatan boleh dirancang bagi membincangkan cerita-cerita wanita ini bersama pelbagai komuniti dan menggalakkan mereka untuk berkongsi cerita mereka pula.”
“Perkongsian secara tidak langsung akan terhasil menerusi projek ini dan itulah yang kami inginkan kerana setiap insan memiliki cerita mereka yang tersendiri. Jadi, inilah masa yang terbaik untuk kita semua berkongsi!” ujarnya lagi yang ditemui sewaktu penggambaran filem pendek arahannya.
Barisan sutradara ini antaranya pelakon terkenal tanahair seperti Datin Sofia Jane, Nanu Baharudin, Sharifah Amani, Fauziah Nawi, Mislina Mustaffa, Vanidah Imran, Dira Abu Zahar, Susan Lankester, Melissa Saila dan Ida Nerina sendiri.
“Looks Fool” oleh Nanu Baharudin dengan cerita ilham Nik Jassmin Hew membongkar kebenaran apakah wanita mendapat lebih keutamaan di dunia realiti, atau sebaliknya.
Memilih genre komedi, pelakon filem Chow Kit iaitu Dira Abu Zahar mempersembahkan sebuah mokumentari bagaimana untuk mendapatkan suami menerusi karya “Jerat Suami”.
Pelakon filem Hanyut, Datin Sofia Jane yang pertama kali duduk di kerusi pengarah cuba bermain dengan isu anak yang dibuang dalam “1-800-BABY”. Sofia memilih situasi bagaimana seorang pekerja rumah anak yatim menjejaki anaknya melalui rancangan televisyen yang dikemudikan oleh seorang pengacara lelaki yang bersifat kasar.
Sofia menampilkan pelakon-pelakon handalan tanahair seperti Nadiya Nisaa’, Normah Damanhuri, Bront Palarae dan Nam Ron.
Meneroka salah satu fasa dalam kehidupan wanita iaitu melahirkan anak menjadi fokus pelakon filem Perempuan Melayu Terakhir, Vanidah Imran. Karya yang bertajuk “Pantang” berkisar kepada tempoh berpantang bagi seorang wanita yang baru lepas melahirkan anak yang dianggap sesuatu yang menyakitkan, termasuk derita kesepian.
Bagaimana seorang wanita bergelut dalam menerima sesuatu yang dianggap asing pada tubuh badannya diceritakan oleh pelakon Melissa Saila secara komedi gelap dalam naskhah yang bertajuk “Berat Sebelah”.
Manakala pelakon filem Sepet iaitu Sharifah Amani meneroka emosi seorang wanita dalam keupayaannya untuk melepaskan seseorang yang amat dicintainya dalam “Hawa”.
Hampir kesemua pengarah ini akan bergabung sebagai pelakon dalam naskhah arahan Ida Nerina yang bertajuk “She”. Sebuah drama ringan yang mencari keunikan seorang wanita yang mewakili semua wanita.
Turut ditampilkan ialah penerbit filem Aida Fitri Buyong, model terkenal Carmen Soo, personality televisyen Elaine Daly, pelakon muda Shamaine Othman dan Junad Md. Nor.
Siri 15 filem pendek itu bakal ditayangkan pada 8 Mac 2013 sempena Hari Wanita Antarabangsa. Namun, hanya 10 daripadanya yang diterima untuk disiarkan sebagai tontonan umum menerusi saluran televisyen.