Perkara itu dimaklumkan Patimah menerusi satu hantaran di akaun Instagram miliknya.
Dalam hantaran tersebut, Patimah menegaskan ada syarat yang perlu dituruti sekiranya Syamsul bersungguh mahu berbaik dan menyelamatkan rumah tangganya.
Bagaimanapun Patimah juga menyatakan bahawa Puteri Sarah berhak membuat keputusan sendiri dan menyokong sekiranya menantu kesayangannya itu mahu mencari kebahagiaan sendiri.
“Jangan buat spekulasi! Kami mohon Puteri Sarah berdamai dengan bersyarat tapi dia berhak membuat keputusan sendiri untuk meneruskan kehidupannya bersama anak-anak,” tulis Patimah.
Dalam pada itu, menerusi hantaran berbeza, Patimah juga menyatakan dia memahami apa sedang dilalui Puteri Sarah.
“Puteri Sarah Liyana, mama dan papa amat memahami derita yang ditanggung, Sarah berhak membuat keputusan sendiri.
“Harta paling berharga adalah Syaikhul dan Sumayyah, mama tetap mendoakan kebahagiaan Sarah.
“Puteri Sarah menantu kami dunia akhirat tiada pengganti!” coretnya.
Terdahulu, Syamsul telah memfailkan permohonan nusyuz terhadap Puteri Sarah di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor pada Selasa.
Manakala Puteri Sarah hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur bagi memfailkan permohonan hadanah atau tuntutan hak penjagaan terhadap dua anaknya.
Pasangan ini kemudiannya hadir pada sidang JKP di pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Jawi) pada Jumaat bagi proses JPK bersama wakil masing-masing.
Namun JPK berkenaan gagal mencapai sebarang keputusan apabila Puteri Sarah bertegas untuk meneruskan penceraian. -Gempak